
KUALA LUMPUR, 13 MEI 25 – Pentadbiran kerajaan hari ini didakwa menyasarkan tokoh korporat dan ahli perniagaan Melayu melalui siasatan membabitkan tuduhan salah guna kuasa dan amalan rasuah, dakwa aktivis politik Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Khairuddin mendakwa, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya membantu tokoh-tokoh berkenaan dan tidak ‘menghancurkan’ ekonomi Melayu dan Islam.
“Apakah salah laku hanya dilakukan oleh tokoh-tokoh korporat Melayu saja?,” soal Khairuddin, dalam satu kenyataan.
Tindakan kerajaan itu katanya berbeza ketika zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang membantu tokoh korporat dalam bidang mereka.
“Ini amat jelas bahawa dasar PMX bukan untuk membantu usahawan-usahawan Melayu seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir dulu tetapi terus cuba ‘mematikan’ satu per satu tokoh-tokoh perniagaan Melayu.
“PMX sepatutnya mengambil contoh dari agenda Dr Mahathir dahulu yang memperkasakan kedudukan usahawan-usahawan Melayu yang tulen dalam bidang perniagaan.
“Sekiranya pemimpin Melayu tidak mahu tolong orang Melayu maka siapa lagi yang boleh membantu Melayu di negara kita ini,” katanya.
Antara tokoh perniagaan Melayu yang berhadapan siasatan termasuk Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Pada 29 Januari lalu, Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis terakhir kerana tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.
Namun selepas Allahyarham meninggal dunia pada 20 November tahun lalu, SPRM berkata Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas dan membebaskan Daim daripada pertuduhan gagal mematuhi notis tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Namun, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih diteruskan.
Anak Dr Mahathir, Tan Sri Mohkzani, juga turut dipanggil agensi anti rasuah itu dan disiasat mengikut akta sama.
Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri juga kini sedang disiasat berkaitan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Sapura Energy Bhd (SEB).
Sumber SPRM mengesahkan fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa dalam isu membabitkan ganjaran yang meliputi gaji, bonus dan syer, selain ‘branding fee’ (yuran penjenamaan) dan amalan ‘private placement’ (penyenaraian persendirian) antara 2012 hingga 2021.
Siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini. @politiko.my