Kerjasama BN-PN PRN Melaka Ujian Awal, Mampukah PAS Kompromi Kerusi SG4? Penganalisis

KUALA LUMPUR | 4 Ogos 26 – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mungkin berdepan ujian lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), khususnya dalam menentukan pembahagian kerusi di negeri-negeri yang menjadi kubu kuat PAS.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, meskipun kerjasama BN-PN menunjukkan hasil positif menerusi kemenangan di Negeri Sembilan, masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diselesaikan bagi memastikan gabungan itu benar-benar kukuh.

Menurut beliau, antara perkara utama ialah keperluan mewujudkan satu bentuk persefahaman atau perjanjian yang lebih jelas antara BN dan PN supaya hala tuju kerjasama dapat diselaraskan.

“Antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional perlu mereka perkukuhkan kerjasama ini dari sudut, mungkin boleh mewujudkan perjanjian umpamanya secara legal kerana semasa di Negeri Sembilan baru-baru ini pun kita nampak macam tidak ada pelarasan juga,” katanya kepada Politiko.

Dr. Mazlan berkata, beberapa kenyataan pemimpin selepas PRN Negeri Sembilan menunjukkan masih terdapat ruang yang perlu diperbaiki dari segi penyelarasan strategi dan komunikasi antara parti.

Beliau mengambil contoh kenyataan Presiden Wawasan yang secara spontan menggunakan istilah “Perikatan Barisan Nasional” yang kemudian mendapat reaksi daripada pemimpin BN, selain ucapan Menteri Besar Kedah yang dikritik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta MIC.

“Saya lihat di Negeri Sembilan ini ada sedikit perkara yang perlu diselaraskan dalam kerjasama ini iaitu dari segi strategi dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mazlan berpandangan cabaran di negeri-negeri seperti Johor, Negeri Sembilan dan Melaka mungkin lebih mudah diuruskan berikutan pengaruh BN yang masih kuat di kawasan tersebut.

Namun, beliau melihat Melaka sebagai antara negeri yang akan menguji tahap kesungguhan kerjasama BN-PN selepas kenyataan Ketua Menteri Melaka yang terbuka kepada kerjasama tetapi tidak mengkhususkan PN sebagai rakan politik.

Menurut beliau, kenyataan itu memberi gambaran bahawa UMNO di negeri tersebut mungkin masih melihat kemampuan untuk bergerak secara bersendirian.

“Artinya saya nampak akibat sebab belum masih kukuh lagi hubungan ini jadi UMNO pun macam di tempat yang dia yakin kuat tu macam dia tak bersungguh,” katanya.

Dr. Mazlan berkata, jika Ketua Menteri Melaka menyatakan secara jelas bahawa kerjasama dengan PN akan diteruskan berdasarkan kejayaan model Negeri Sembilan, ia akan memberi isyarat yang lebih kuat mengenai komitmen BN terhadap kerjasama tersebut.

Bagaimanapun, katanya, cabaran paling besar mungkin berlaku di negeri SG4 iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang mempunyai pengaruh PAS yang dominan.

Beliau berkata, isu pembahagian kerusi dijangka menjadi perkara rumit sekiranya BN mahu mendapatkan jumlah kerusi yang lebih besar dalam negeri-negeri tersebut.

“Bagaimana Barisan Nasional dan Perikatan Nasional boleh menguruskan kerjasama di empat negeri yang pengaruh PAS begitu kuat ini dari segi bilangan kerusi yang nak ditandingi, pembahagian kerusi itu mungkin sedikit menghadapi cabaran,” katanya.

Menurut Dr. Mazlan, persoalan utama selepas ini ialah sejauh mana kedua-dua gabungan mampu menguruskan kepentingan masing-masing bagi memastikan kerjasama BN-PN tidak hanya berjaya dalam beberapa pilihan raya negeri, tetapi dapat diterjemahkan sebagai strategi bersama menghadapi PRU16. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share