
KUALA LUMPUR | 12 Sep 26 – UMNO dijangka memfokuskan rundingan kerjasama politik secara terus dengan PAS berbanding Perikatan Nasional (PN), susulan kecenderungan yang disuarakan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Berita Harian melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata kepemimpinan parti akan membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengendalikan perundingan kerjasama politik serta memetakan hala tuju dan strategi kerjasama pada masa akan datang.
Menurutnya, walaupun UMNO sebelum ini mengadakan rundingan dengan PAS dan PN dalam beberapa pilihan raya, perbahasan pada PAU kali ini menunjukkan kecenderungan berbeza dalam kalangan perwakilan.
“Wujud kecenderungan untuk kita memfokuskan kepada perundingan dengan kepemimpinan PAS berbanding dengan melihat dalam konteks PN itu sendiri,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Asyraf berkata, pandangan yang dilontarkan perwakilan dalam PAU kali ini akan diambil kira oleh kepemimpinan parti dalam menentukan pendekatan rundingan politik seterusnya.
Perkembangan itu memberi isyarat bahawa UMNO sedang membuka ruang kepada pendekatan rundingan secara langsung dengan PAS, tanpa menjadikan PN sebagai kerangka utama perbincangan.
Namun, pembentukan jawatankuasa khas berkenaan menunjukkan keputusan mengenai bentuk dan hala tuju kerjasama politik masih dalam proses untuk dimuktamadkan oleh kepemimpinan UMNO. @sumber