Kes Lesen Judi Kedah Lebih Besar Daripada Soal Judi – Zainul Rijal

KUALA LUMPUR | 13 Ogos 26 – Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah dalam kes lesen premis perjudian perlu dilihat dari sudut yang lebih luas, khususnya berkaitan sempadan kuasa kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan bidang kuasa mahkamah melakukan semakan kehakiman terhadap dasar awam.

Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bukan memutuskan secara substantif sama ada dasar Kedah berhubung perjudian itu sah atau tidak.

Sebaliknya, katanya, mahkamah menolak permohonan kebenaran merayu selepas kerajaan negeri gagal memenuhi ambang ditetapkan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Ini bermakna keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada pengusaha perjudian kekal berkuat kuasa.

“Persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana kuasa kerajaan negeri boleh digunakan untuk melaksanakan dasar awam berdasarkan kehendak dan nilai masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Menurut Zainul Rijal, Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini berhujah bahawa keputusan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian merupakan sebahagian daripada dasar negeri serta berkait dengan kuasa kerajaan tempatan.

Katanya, perkara itu juga mempunyai asas untuk dibahaskan memandangkan terdapat penghakiman minoriti di Mahkamah Rayuan yang menyebelahi Kedah.

“Apabila Mahkamah Persekutuan tidak memberikan ruang untuk isu ini diperiksa secara substantif di peringkat tertinggi, timbul persoalan sama ada satu isu perlembagaan dan pembahagian kuasa yang mempunyai kepentingan awam besar telah terhenti atas persoalan ambang prosedur,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kritikan terhadap keputusan itu tidak bermaksud mahkamah perlu menghalalkan perjudian atau membenarkan kerajaan negeri bertindak tanpa batas undang-undang.

Sebaliknya, menurut beliau, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah sejauh mana kuasa yang diberikan kepada negeri boleh digunakan apabila pelesenan perjudian turut berada dalam kerangka kawal selia Persekutuan.

“Jika negeri mempunyai ruang kuasa terhadap lesen premis dan kerajaan tempatan, perlu ada garis yang jelas tentang bagaimana kuasa itu boleh digunakan bagi melaksanakan dasar sosial dan moral negeri,” katanya.

Zainul Rijal berpandangan kes berkenaan sebenarnya mempunyai implikasi yang lebih besar daripada isu lesen perjudian kerana ia menyentuh prinsip federalisme Malaysia.

“Apabila sesuatu perkara mempunyai dimensi Persekutuan tetapi pelaksanaannya turut melibatkan kuasa negeri dan kerajaan tempatan, siapakah yang mempunyai kata putus?” soalnya.

Beliau berkata, keputusan tersebut sepatutnya menjadi dorongan kepada Parlimen untuk memperjelas pembahagian kuasa berkenaan supaya pertikaian dasar awam seperti isu perjudian tidak berulang.

“Mahkamah mentafsir undang-undang, tetapi jika undang-undang itu sendiri kabur mengenai pembahagian kuasa, penyelesaiannya akhirnya terletak pada pembuat undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan yang membatalkan tindakan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian di negeri itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share