
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 25 — Kebangkitan rakyat di jalan raya menuntut keadilan atas kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir sebenarnya mendedahkan defisit keyakinan kepada pentadbiran negara.
Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata, rakyat sebenarnya sudah berjaya memaksa kes itu dibuka semula selepas ditutup.
“Daripada sudut yang lebih luas, kebangkitan rakyat jelata di jalan raya dan media sosial ini adalah manifestasi defisit keyakinan terhadap institusi pemerintahan dan pentadbiran negara.
“Sekarang bukan sekadar dibuka semula, malah pertuduhan telah dibuat di mahkamah dan, sebagai tambahan, inkues akan dilakukan oleh mahkamah,” katanya, dalam hantaran media sosial.
Sehubungan itu katanya, rakyat diminta bertenang dalam perkembangan semasa itu tersebut dan tidak bertindak berlandaskan emosi.
“Jadi mintalah kawal sikit emosi. Kalau tidak tahu tanya. Kalau tidak sahih jangan sebar.
“Jangan rosakkan kejayaan tuan-tuan dan puan-puan itu dengan menuntut yang di luar undang-undang.
“Jadi, adalah amat membimbangkan dan merugikan kalau perbicaraan lima orang remaja dalam kes buli yang berkaitan kematian Zara Qairina, di Kota Kinabalu sekarang menjadi punca satu pusingan lagi tuduhan ‘cover-up’,” katanya.
Jelas Kadir, penyokong Zara Qairina boleh beremosi dan bersimpati tetapi jangan melanggar undang-undang, peraturan dan konvensyen.
“Adalah sia-sia dan hipokrit bagi seseorang itu menuntut keadilan tetapi pada masa yang sama melanggar undang-undang dan peraturan,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.