Pengundi Muda Lesu, Tidak Minat Mengundi Di PRK Ayer Kuning – Ilham Centre

KUALA LUMPUR, 25 APR 25 – Kelompok pengundi dalam kalangan anak muda dilihat tidak memiliki keterujaan untuk keluar mengundi di PRK Ayer Kuning yang dijadual berlangsung esok, kata Ilham Centre.

Laporan pola pengundian yang dikeluarkan badan penyelidikan itu berkata, dapatan kajian mendapati pengundi muda Ayer Kuning yang berada di luar kawasan tidak minat untuk keluar mengundi.

“Dalam konteks ini, anak muda Melayu kekal sebagai kumpulan pengundi yang kritikal terhadap BN, meneruskan sentimen negatif yang telah memberi lonjakan besar kepada PN semasa PRU-15 lalu.

“Ketiadaan minat generasi muda ini merupakan cabaran utama jentera Pemuda Umno yang dilihat terkial-kial dalam usaha untuk meraih semula kepercayaan kelompok ini sepanjang tempoh kempen berlangsung,” kata Pengarah Eksekutif Hisomudin Bakar dalam laporan tersebut.

Fenomena itu katanya menyebabkan pola pengundian majoriti senyap semakin sukar dibaca, menambah ketidakpastian terhadap keputusan akhir PRK ini.

“Berdasarkan temubual oleh Ilham Centre, pengundi muda khususnya mereka yang berada di luar kawasan seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Teluk Intan secara jelas menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk pulang mengundi,” katanya.

Laporan itu juga mendapati BN secara relatifnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi DUN Ayer Kuning manakala bagi pihak PN, fokus utama adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada PRU-15 lalu.

“Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar memandangkan PRU lalu menyaksikan PN berjaya menguasai empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi Umno,” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share