
JOHOR BAHRU | 29 Jun 26 – Naib Presiden BERSATU, Ahmad Faizal Azumu berharap PAS dan seluruh komponen Perikatan Nasional (PN) terus membantu calon-calon gabungan itu dalam menghadapi pilihan raya, meskipun wujud dinamika dan ketegangan politik dalaman yang mencuri perhatian.
Beliau berkata kerjasama antara parti komponen PN perlu dikekalkan kerana kekuatan gabungan tersebut bergantung kepada solidariti semua pihak di bawah satu panji.
“Kami ingin melihat semua calon Perikatan Nasional mendapat kejayaan kerana perkara ini penting dalam kita menghadapi pilihan raya ini,” katanya dalam hantaran video wawancara beliau bersama media, semalam.
Ahmad Faizal atau Peja menegaskan bahawa semangat kebersamaan dalam PN perlu diutamakan berbanding perbezaan dalaman parti.
“Amat penting untuk semua pihak bekerjasama terutama sekali di kalangan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional. Semangat kebersamaan dan ikatan persaudaraan itu perlu kita jaga dengan baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap calon PN wajar dibantu tanpa mengira parti, termasuk melalui gerak kerja lapangan dan sokongan moral.
“Kalau tanpa bantuan kederat, keringat dan juga wang ringgit, sekurang-kurangnya berdoa untuk kejayaan sahabat-sahabat kita. Bukan dengan memboikot ataupun sebagainya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menolak sebarang bentuk perpecahan dalam gabungan dan menegaskan fokus PN ialah kepentingan rakyat.
Seruan ke arah kesatuan dalam PN ini muncul setelah beberapa siri sindiran terbuka pimpinan BERSATU terhadap PAS, jelas menunjukkan kontradiksi pendirian BERSATU terhadap hubungan dengan PAS
Baru-baru ini, dalam satu ceramah pelancaran kempen Pilihan Raya Negeri Johor, Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin dilaporkan menyindir pihak tertentu dengan ungkapan loghat Terengganu berbunyi “ini peel, apa isley isley”, yang mencetus reaksi dan tepukan daripada hadirin termasuk pimpinan kanan parti.
Ucapan tersebut dilihat sebagai sindiran politik dalam konteks dalaman gabungan, namun tidak dinyatakan secara terbuka kepada mana-mana parti.
Sebelum itu, Setiausaha Agung BERSATU, Azmin Ali turut mencetus perhatian apabila dalam ceramah di Melaka berkata: “Bukalah mata, jangan pekak,”- kenyataan yang dibuat bagi menangkis dakwaan bahawa jentera PN termasuk PAS tidak cukup kuat dalam menghadapi pilihan raya.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika sidang media menyatakan dengan jelas bahawa PAS tidak akan membantu kempen BERSATU dalam PRN Johor kali ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.