
KUALA LUMPUR, 2 Sep 25 – Ketua Bahagian Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak, mengingatkan kepimpinan parti agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan jentera pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dan bukannya terlalu awal membincangkan soal calon perdana menteri.
Menurut beliau, setiap pilihan raya adalah medan “perang politik” yang memerlukan kekuatan organisasi serta penyelarasan strategi di semua peringkat.
“Mana-mana parti nak pergi perang, kita nak menang, nak ambil kuasa. Apa yang kita kena ada ialah jentera, askar, batalion, panglima, semua mesti bersedia,” katanya kepada politiko.
Ahmad berkata PAS sudah menunjukkan kesediaan di bawah panji Perikatan Nasional (PN), dan kini tiba masanya Bersatu memastikan jentera parti di semua bahagian berada dalam keadaan mantap.
“Mesyuarat agung tahunan bukan tempat untuk calonkan siapa perdana menteri. Itu bukan keutamaan nombor satu. Yang penting ialah konsolidasi semua ketua bahagian di seluruh negara supaya barisan kita benar-benar kuat untuk berdepan PRU,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kemenangan PRU tidak hanya bergantung kepada seorang tokoh, sebaliknya memerlukan barisan kepimpinan dan kabinet bayangan yang mantap untuk mentadbir negara.
“Kalau nak menang, buat cara nak menang. Kemenangan perlu datang daripada kekuatan jentera dan perpaduan, bukan sekadar poster boy,” katanya lagi.
Ahmad turut mengingatkan agar kepimpinan Bersatu memandang ke hadapan dan tidak terlalu bergantung kepada figura lama.
“Kalau Muhyiddin jadi poster boy, saya bimbang ia tidak memberi kesan besar. Rakyat sekarang melihat kepada panji PN, bukan sekadar individu,” katanya.
Beliau juga menyeru agar semua peringkat parti memperkukuh konsolidasi terlebih dahulu sebelum melangkah ke medan pilihan raya.
“Calon PM bukanlah prioriti. Yang akan menangkan kita ialah kesepaduan seluruh jentera,” tegasnya.
Parti Bersatu dijangka mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pada 6-7 September ini di Shah Alam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.