
KUALA LUMPUR | 5 Ogos 2026 — Masa depan Parti Wawasan Negara banyak bergantung kepada kebijaksanaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengimbangi kedudukan parti itu yang berada di tengah-tengah antara politik berasaskan kaum dan politik berteraskan agama.
Pandangan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen, Tan Tee Beng, yang melihat kedudukan Wawasan sebagai unik namun penuh cabaran dalam landskap politik negara yang masih dipengaruhi faktor identiti, kaum dan agama.
Menurut beliau, Wawasan mempunyai peluang untuk mengisi ruang sebagai parti pelbagai kaum, namun cabaran terbesar adalah bagaimana Hamzah menguruskan kedudukan parti itu agar diterima dalam gabungan politik sedia ada tanpa kehilangan identiti asalnya.
“Bagaimana Hamzah dan Wawasan memainkan permainan ini adalah persoalan masa depan. Terutama apabila anda berada di tengah-tengah antara sebuah parti berasaskan kaum dan sebuah parti berasaskan agama, ia adalah tugas yang sangat sukar untuk Hamzah,” katanya.
Tan Tee Beng berkata, kedudukan Wawasan menjadi lebih menarik kerana parti itu berpotensi memainkan peranan sebagai penghubung antara PAS dan UMNO, khususnya dalam usaha memperkukuhkan kerjasama politik Melayu.
“Situasi Wawasan sangat unik. Ia akan menjadi penghubung antara PAS dan UMNO. Ia akan memainkan peranan sebagai jambatan bagi proses penyatuan atau kerjasama antara PN dan BN,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman politik Hamzah yang pernah berada dalam UMNO sebelum menyertai Bersatu dan kini menerajui gerakan baharu melalui Wawasan memberikan kelebihan dalam menguruskan hubungan antara parti-parti Melayu.
Beliau berkata, Hamzah juga mempunyai peranan penting dalam memastikan kerjasama antara parti dalam PN tidak terganggu akibat perbezaan kepentingan politik.
Dalam masa sama, Tan Tee Beng melihat Wawasan cuba mengambil ruang politik yang pernah dimainkan oleh PKR sebelum ini sebagai sebuah parti yang membawa imej pelbagai kaum.
Bagaimanapun, beliau mendakwa usaha membawa naratif politik pelbagai kaum sebelum ini gagal di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak disertai perubahan yang jelas seperti yang dijanjikan.
“Anwar telah mencuba. Beliau cuba membawa imej ‘ini anak Cina saya, ini anak India saya, ini anak Dusun saya’. Beliau cuba membina imej itu, tetapi beliau tidak melaksanakan apa-apa untuk membuktikan dirinya benar,” katanya.
Menurut Tan Tee Beng, kegagalan kerajaan memenuhi harapan rakyat menyebabkan naratif reformasi yang dibawa sebelum ini semakin kehilangan pengaruh.
Katanya, Wawasan kini mempunyai peluang untuk menawarkan pendekatan berbeza, tetapi kejayaan parti itu bergantung kepada keupayaan Hamzah mengimbangi pelbagai tekanan politik yang wujud.
Walaupun laluan Wawasan untuk mendapatkan pengaruh di peringkat politik bukan mudah, Tan Tee Beng menyifatkan pendekatan tersebut sebagai hala tuju yang mempunyai potensi sekiranya diuruskan dengan strategi yang tepat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.