
KUALA LUMPUR, 13 Jun 25 – Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Muafakat Nasional (MN) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilihat seperti ‘caca marba’.
Aktivis politik itu mendakwa, beberapa isu seperti permohonan imuniti yang dibuat Anwar kepada mahkamah baru-baru ini dan pertuduhan salah laku seksual terhadap bekas pembantu penyelidik ahli politik Yusoff Rawther menjadi contoh kepada dakwaannya itu.
“Sebenarnya hari ini Anwar sedang merosakkan pentadbiran negara kita. Segalanya menjadi ‘caca marba’ kini.
“Dalam masa yang sama saya bersyukur kerana penganiayaan terhadap Yusoff sedang dibela oleh Allah dan tidak akan mengizinkan penganiayaan terhadap mana-mana pihak yang berjuang untuk menegakkan kebenaran,” dakwa Khairuddin dalam satu kenyataan.
Khairuddin mendakwa, pendedahan Yusoff terhadap Anwar itu membuatkannya berusaha untuk memohon imuniti.
Sedangkan itu bukan tindakan seorang reformis sejati, kata Khairuddin.
“Yusoff akan cerita mengenai serangan seksual Anwar terhadap dirinya secara terperinci.
“Sebab itu Anwar cuba menyalahi undang-undang dan mengambil tindakan permohonan samada beliau mempunyai kekebalan melalui mahkamah.
“Tindakan Anwar ini sudah membuktikan secara jelas kepada kita semua bahawa beliau bukan reformis tetapi cuba menyalahguna kuasa untuk elakkan perbicaraan serangan seksual terhadap Yusoff,” dakwa Khairuddin lagi @politiko.my