NGO Dakwa Rasuah Perolehan Tentera Darat, Laporan Polis Dibuat Terhadap Panglima

KUALA LUMPUR, 21 DIS 25 — Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pembela Tanah Air (PETA) mendakwa wujud amalan rasuah serius dalam perolehan melibatkan Tentera Darat Malaysia, termasuk dakwaan penguasaan tender oleh beberapa syarikat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pegawai kanan tinggi tentera.

Aktivis PETA, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, berkata hasil pemerhatian terhadap transaksi kewangan mendapati terdapat pergerakan wang dalam akaun beberapa pegawai kanan yang disifatkan sebagai mencurigakan dan tidak selari dengan pendapatan rasmi.

Menurutnya, PETA kini berada pada peringkat akhir untuk membuat laporan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk terhadap Panglima Tentera Darat dan beberapa pegawai tinggi kanan lain, dengan dakwaan melibatkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), selain penyerahan bukti berkaitan elemen rasuah.

“Satu sidang media khas akan diadakan pada 22 Disember 2025 (Isnin), jam 11.30 pagi di hadapan IPD Dang Wangi, bagi memaklumkan secara rasmi penyerahan laporan polis serta bukti berkaitan kepada pihak berkuasa. Kata Che Gubard dalam kenyataan.

Beliau dalam pada itu, turut mengimbas pendedahan terdahulu pada Julai 2024, apabila PETA mengesan dakwaan rasuah melibatkan seorang bakal Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang kemudiannya digugurkan selepas dokumen berstatus rahsia didedahkan dan laporan polis dibuat, walaupun beliau sendiri ditahan dan direman hampir seminggu susulan pendedahan itu.

Menurutnya, dakwaan kali ini jauh lebih besar dan bersifat strategik kerana ia melibatkan aspek keselamatan negara, termasuk kualiti peralatan ketenteraan yang secara langsung mempertaruhkan nyawa anggota tentera di lapangan.

“Ini bukan sekadar isu kewangan atau individu. Ia soal keselamatan negara. Jika perolehan dikompromi akibat rasuah, nyawa anggota tentera menjadi taruhan,” katanya sambil menegaskan pendedahan akan dibuat secara berperingkat dengan sokongan tekanan awam. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share