Kontrak THiJARI: NGO Gesa Kerajaan Dedah Proses Perolehan

KUALA LUMPUR | 6 Ogos 26 — Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Dr. Armin Baniaz Pahamin menggesa kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) mendedahkan secara terperinci proses perolehan kontrak pembangunan platform THiJARI bernilai kira-kira RM4.53 juta yang diberikan kepada Cyber Village Sdn. Bhd. pada penghujung tahun 2019.

Beliau berkata, pendedahan mengenai kontrak itu menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses perolehan melibatkan institusi yang mengurus simpanan lebih sembilan juta pendeposit.

Menurutnya, Cyber Village sememangnya mempunyai hubungan sejarah dengan Tony Pua yang pernah menjadi antara pengasas syarikat itu sebelum meninggalkannya pada 2007, namun tiada bukti beliau masih memiliki syarikat atau menerima manfaat daripada kontrak tersebut pada 2019.

“Persoalan utama bukan sama ada Tony Pua masih mempunyai saham, tetapi sama ada proses perolehan itu benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh atau campur tangan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Armin berkata, sekiranya benar tiada campur tangan politik, kerajaan dan TH perlu mendedahkan kaedah perolehan, syarikat yang dipelawa, kriteria penilaian, markah teknikal dan kewangan, jawatankuasa penilaian serta pihak yang meluluskan kontrak itu.

Beliau turut meminta penjelasan mengapa Theta Edge Berhad, anak syarikat TH dalam bidang teknologi maklumat, tidak diberikan peranan utama dalam pembangunan platform tersebut.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan menjelaskan aspek keselamatan data jutaan pendeposit termasuk lokasi penyimpanan data, pihak yang mempunyai akses serta sama ada audit keselamatan bebas telah dijalankan.

Menurutnya, isu itu tidak seharusnya dipolemikkan atas dasar kaum atau agama, sebaliknya perlu dilihat dari sudut ketelusan, tadbir urus dan kepentingan pendeposit.

Katanya, sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan, pendedahan penuh mengenai proses perolehan merupakan langkah terbaik untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti pengurusan Tabung Haji.

Kerajaan baru-baru ini mendedahkan laporan RCI Tabung Haji yang mendedahkan berlaku banyak masalah berhubung tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share