
HULU LANGAT | 12 Jun 26 – Krisis dalaman BERSATU dilihat semakin parah apabila sekumpulan pimpinan Bahagian Hulu Langat mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta, sambil menyalahkan kepimpinan pusat atas kegagalan mengurus parti dan mempertahankan hubungan politik dengan PAS.
Dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian, ketua-ketua cawangan serta pimpinan sayap parti, mereka mendakwa keputusan meninggalkan BERSATU dibuat selepas hilang keyakinan terhadap pengurusan parti di peringkat pusat.
Menurut mereka, tindakan pembubaran Jawatankuasa BERSATU Bahagian Hulu Langat dilakukan tanpa mematuhi perlembagaan parti dan tanpa sebarang makluman rasmi kepada pimpinan yang dipilih oleh ahli pada pemilihan Februari 2025.
“Kami tidak pernah meletakkan jawatan, tidak menerima sebarang surat rasmi berkaitan pembubaran bahagian dan tidak dimaklumkan mengenai sebarang keputusan rasmi pimpinan,” menurut kenyataan tersebut.
Lebih mengejutkan, kumpulan itu turut mengaitkan tindakan mereka dengan kemelut hubungan antara BERSATU dan PAS yang akhirnya membawa kepada keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan parti itu.
Mereka mendakwa perpecahan tersebut berpunca daripada kegagalan pimpinan BERSATU mengurus perbezaan pandangan serta tindakan yang dianggap menjadi penghalang kepada usaha Perikatan Nasional kembali membentuk kerajaan pada PRU16.
Menurut kenyataan itu, siri kenyataan berbentuk provokasi, tohmahan dan fitnah terhadap rakan komponen telah merosakkan ukhwah politik yang dibina sejak 2020 dan menjejaskan fokus pembangkang untuk berdepan Kerajaan MADANI.
“Kami berasa sangat malu dan terkesan di atas tindak tanduk yang dilakukan oleh pimpinan BERSATU yang akhirnya menyebabkan penyatuan ummah yang dirangka terus disabotaj dan mengheret Perikatan Nasional ke kancah ketidaktentuan,” kata mereka lagi.
Susulan keputusan itu, kumpulan berkenaan mengumumkan peletakan jawatan daripada semua posisi yang disandang serta akan menggerakkan usaha membubarkan cawangan-cawangan BERSATU di bawah Bahagian Hulu Langat yang dipimpin mereka.
Antara yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Naib Ketua Bahagian BERSATU Hulu Langat, Asrul Asrah Isyam Abdul Rahman; Bendahari Bahagian, Datuk Abdul Rahman Mohd Tahtar; Ketua Armada Bahagian, Azhar Abdul Razak serta beberapa Ahli Jawatankuasa Bahagian dan ketua-ketua cawangan.
Perkembangan ini dilihat sebagai petunjuk bahawa pergolakan dalam BERSATU semakin meruncing setelah PAS memutuskan hubungan dengannya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.