
SEREMBAN | 21 Sep 26 – Krisis berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kini memasuki fasa baharu apabila Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menarik balik perkenan dan membatalkan pelantikan kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berkuat kuasa serta-merta.
Pembatalan itu dibuat selepas kesemua EXCO terbabit didapati memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September lalu, menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali.
“Mereka telah memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 September. Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia telah menarik balik perkenan Baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan yang dilaporkan oleh malaysiakini, awal hari ini.
Kesemua EXCO berkenaan sebelum ini mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu.
Mereka ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Istana Negeri Sembilan merujuk Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menetapkan seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Pembatalan itu berlaku selepas kemelut berhubung proklamasi 19 April 2026 yang mendakwa Tuanku Muhriz telah diturunkan daripada takhta dan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Pada 15 September lalu, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dilaporkan membuat keputusan sebulat suara mengiktiraf proklamasi tersebut serta kedudukan Tuanku Nadzaruddin.
Bagaimanapun, pada 17 September, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri memaklumkan kerajaan negeri tidak akan mewartakan atau melaksanakan proklamasi berkenaan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan ia tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
AGC turut menyatakan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Kemelut itu kemudian memuncak dengan tindakan Tuanku Muhriz pada 20 September membatalkan kesemua lantikan EXCO. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.