Laporan Rumah Tak Terjual, Tak Tepat, Kata KPKT

KUALA LUMPUR, 5 Sep 25 – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan laporan yang mendakwa hampir 100,000 unit rumah tidak terjual di Malaysia adalah kurang tepat kerana ia mencampurkan beberapa kategori berbeza.

Menurut kenyataan KPKT, angka itu bukan hanya merujuk kepada rumah siap tetapi tidak terjual, sebaliknya turut melibatkan unit dalam pembinaan serta projek yang diluluskan tetapi belum dibina.

“Fokus utama yang lebih tepat adalah kepada kategori rumah siap tetapi belum terjual. Data rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) menunjukkan jumlah itu menurun secara konsisten sejak 2022,” kata kenyataan itu.

Data Napic merekodkan sebanyak 35,592 unit rumah siap tetapi belum terjual pada 2022, berkurangan kepada 26,872 unit (2023), 24,208 unit (2024) dan 23,515 unit pada tahun ini.

Bagi meningkatkan ketelusan data, KPKT kini memperluas penggunaan Housing Information Management System (HIMS) di bawah inisiatif “1 Data for 1 Nation”. Sistem itu bertujuan menyatukan data perumahan di seluruh negara supaya lebih tepat, terbuka dan konsisten, sekali gus menjadi rujukan kepada semua pihak berkepentingan.

KPKT menegaskan situasi pasaran perumahan negara kekal stabil, dan angka 100,000 rumah tidak terjual tidak menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.

Terdahulu, laporan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), setakat Jun 2025, merekodkan bahawa terdapat 26,911 unit kediaman lengkap bernilai kira-kira RM16.4 bilion masih belum mendapat pembeli.

Jumlah rumah siap dibina tetapi tidak terjual di seluruh negara meningkat sebanyak 16.3 peratus pada separuh pertama tahun ini, menurut laporan pasaran hartanah terkini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share