Team RESET Melaka Siap Penaja 6 Bahagian, Isyarat Platform Politik Baharu?

MELAKA | 6 Apr 26 – Kenyataan terbaharu Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mencetuskan spekulasi bahawa satu penyusunan semula kekuatan politik sedang giat digerakkan di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menerusi hantaran Facebooknya, mantan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka itu memaklumkan bahawa “Team RESET Melaka” telah melengkapkan keseluruhan struktur jawatankuasa penaja melibatkan enam bahagian, termasuk sayap dan cawangan. Struktur tersebut, menurut beliau, akan diserahkan kepada Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin, sempena kunjungan beliau ke Melaka pada 11 April ini.

Rahim menggunakan metafora “kapal baru mula belayar” bagi menggambarkan perkembangan tersebut, sambil memberi bayangan bahawa pengumuman rasmi bakal dibuat “dalam masa yang terlalu dekat”.

Kenyataan itu segera mengundang tanda tanya sama ada Team RESET merupakan platform politik baharu atau sekadar mekanisme penyusunan semula kekuatan sedia ada dalam PN Melaka.

Perkembangan ini muncul ketika spekulasi mengenai penubuhan sebuah parti baharu pasca pemecatan Hamzah februari lalu.

Rahim turut menyebut keperluan menjaga kerahsiaan bagi mengelakkan “risiko sabotaj oleh jembalang politik”.

“Dalam dunia politik, kadang-kadang kerahsiaan perlu dijaga demi mengelakkan risiko sabotaj olih jembalang politik…” Ujarnya.

Buat masa ini, Abdul Rahim hanya memberi bayangan bahawa “kapal” tersebut akan belayar tidak lama lagi. Jika benar struktur lengkap enam bahagian sudah tersedia, pengumuman rasmi mungkin sekadar menunggu masa sesuai.

Apa pun, perkembangan ini menandakan satu perkara jelas, percaturan menuju PRN Melaka telah pun bermula, dan Team RESET nampaknya mahu berada di barisan hadapan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share