Mahathir Tegas Tolak Perang, Seru Penyelesaian Melalui Rundingan

KUALA LUMPUR | 3 Apr 26 — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan pendirian konsistennya menolak peperangan sebagai kaedah menyelesaikan konflik, sebaliknya menggesa agar pertikaian antara negara ditangani melalui pendekatan damai dan rasional.

Dalam satu kenyataan, beliau menegaskan bahawa perang pada asasnya adalah tindakan membunuh manusia secara besar-besaran, sesuatu yang tidak boleh diterima sebagai penyelesaian kepada sebarang masalah.

“Saya tidak dapat menerima pembunuhan manusia sebagai jalan penyelesaian. Namun perang itu sendiri adalah tentang pembunuhan secara besar-besaran,” katanya.

Menurut beliau, adalah sukar untuk difahami mengapa masyarakat dunia masih menerima peperangan sebagai mekanisme menyelesaikan konflik, sedangkan terdapat alternatif yang lebih berperikemanusiaan, kurang merosakkan serta menelan kos yang jauh lebih rendah.

Mahathir menjelaskan bahawa manusia mempunyai keupayaan berfikir untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik, termasuk melalui rundingan, timbang tara atau proses perundangan di mahkamah.

“Dengan keupayaan berfikir, manusia boleh menilai baik dan buruk setiap pilihan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rundingan secara aman merupakan kaedah terbaik dalam menyelesaikan pertikaian antara pihak yang berkonflik.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar peperangan dihentikan dan semua pihak kembali kepada pendekatan diplomasi dalam menangani konflik antarabangsa.

Perang antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran yang meletus sejak 28 Februari 2026 dilaporkan telah berlangsung selama 35 hari hingga kini.

Konflik tersbeut telah memakan korban jiwa. Hingga kini terdapat sekurang-kurangnya 2,647 orang terkorban, dengan jumlah luka lebih 26,000 orang, terutamanya di Iran dan Lubnan.

Serangan gabungan AS-Israel telah menjangkau wilayah Iran, Iraq, dan Lubnan, manakala serangan balas Iran telah menyasarkan Israel serta pangkalan tentera AS di seluruh Timur Tengah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share