MAP Pertikai “Perjanjian Anwar-Trump”, Dakwa PM Tak Patuhi Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 2 DIS 25 — Parti Kemajuan Malaysia (MAP) hari ini membangkitkan persoalan serius mengenai kesahihan “Perjanjian Anwar-Trump” (Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat), mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani perjanjian itu tanpa mematuhi prosedur wajib Perlembagaan Persekutuan.

Presiden MAP, Waytha Moorthy Ponnusamy, berkata penandatanganan perjanjian pada 26 Oktober 2025 berpotensi menyalahi peruntukan undang-undang kerana ia dilakukan secara unilateral tanpa penglibatan penuh institusi Persekutuan seperti Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan Parlimen.

Beliau juga menegaskan tindakan Perdana Menteri ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada 4 November 2025, yang menyatakan “Perjanjian Anwar-Trump”, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, merupakan satu usaha untuk mengelirukan Parlimen.

MAP menegaskan bahawa kuasa membuat kontrak yang mengikat Malaysia terletak secara eksklusif pada “Persekutuan” di bawah Perkara 69 Perlembagaan Persekutuan. Persekutuan merangkumi keseluruhan institusi perlembagaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja, Eksekutif dan Parlimen.

“Setiap tindakan unilateral oleh Perdana Menteri atau Kabinet untuk menguatkuasakan ART adalah ultra vires, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kesan undang-undang,” kata Waytha Moorthy.

Beliau menegaskan bahawa tandatangan PM hanya merupakan permulaan proses dan bukannya pengesahan muktamad yang mengikat negara, kerana prosedur domestik yang relevan masih belum disempurnakan.

MAP menyenaraikan beberapa langkah penting yang belum dipenuhi antaranya, kelulusan Parlimen di bawah Perkara 66 Perlembagaan. Persetujuan Majlis Raja-Raja bagi isu kedaulatan dan prerogatif Raja-Raja Melayu. Pematuhan peranan Yang di-Pertuan Agong seperti ditetapkan dalam Artikel 39, 40, 44 dan 66. Pengesahan rasmi oleh semua kementerian berkaitan, termasuk pegawai kanan MITI.

Menurut Waytha, sebarang notifikasi yang dikeluarkan PM kepada Amerika Syarikat tanpa langkah-langkah ini adalah tidak sah di sisi undang-undang Malaysia dan boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

MAP turut menegaskan bahawa beberapa klausa dalam “Perjanjian Anwar-Trump” berpotensi menjejaskan kedaulatan negara, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maruah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, serta keselamatan negara.

“Perjanjian ini tidak boleh dilaksanakan tanpa melalui keseluruhan proses Perlembagaan, kerana sebarang pelanggaran boleh memberi implikasi serius kepada hak dan kuasa Persekutuan,” kata Waytha.

MAP menegaskan “Perjanjian Anwar-Trump” yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 tidak boleh berkuat kuasa di Malaysia sehingga prosedur Perlembagaan dilengkapkan oleh semua organ Persekutuan.

“Perdana Menteri tidak berhak mengikat Malaysia secara sah tanpa proses lengkap. Sebarang tindakan sebaliknya adalah terbatal dan tidak berperlembagaan,” tegas Presiden MAP. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share