
ALOR SETAR | 9 Mei 26 — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat daripada Bersatu tidak dianggap sebagai pembangkang kerana masih menyokong kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, sebarang tindakan melibatkan ADUN Suka Menanti, Datuk Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abd Razak Khamis perlu melalui proses parti terlebih dahulu sebelum diputuskan di peringkat pentadbiran negeri.
Menurut Sanusi, kedua-dua mereka juga masih menjalankan tugas seperti biasa termasuk membabitkan portfolio kerajaan negeri.
“Kita tunggu proses seterusnya. Mereka bukan pembangkang,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan dua ADUN terbabit susulan tindakan disiplin BERSATU.
Dzowahir ketika ini memegang portfolio EXCO Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, manakala Abd Razak merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Terdahulu, BERSATU mengumumkan pemecatan beberapa pemimpin parti termasuk Dzowahir dan Abd Razak atas alasan melanggar disiplin parti.
Selain pemecatan, beberapa Ahli Parlimen dan ADUN lain turut dikenakan tindakan penggantungan serta amaran oleh Lembaga Disiplin Bersatu. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.