Kemelut DAP Melaka Berisiko Menjadi Liabiliti Politik Menjelang PRN Negeri Sembilan
Selepas kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor, tumpuan politik kini beralih ke Negeri Sembilan. Di atas kertas, PH masih mempunyai kelebihan kerana negeri itu ditadbir oleh gabungan berkenaan. Namun, kelebihan sebagai kerajaan juga membawa beban yang lebih besar.
Berbeza dengan Johor, cabaran utama PH di Negeri Sembilan bukan sekadar serangan daripada pihak lawan. Sebaliknya, gabungan itu kini berdepan ujian dalaman yang berpotensi menjejaskan persepsi rakyat terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Isu paling menonjol ialah kemelut yang melanda DAP Melaka.
Kemelut itu tercetus apabila DAP Melaka membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka 2026 berhubung pelantikan ADUN lantikan. DAP menyifatkan pindaan tersebut bercanggah dengan prinsip demokrasi, namun kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) tetap meneruskan kelulusan rang undang-undang berkenaan.
Sebagai tanda protes, DAP Melaka mengambil langkah drastik dengan menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri. Empat wakil rakyat DAP melepaskan jawatan Exco, Timbalan Exco dan Timbalan Speaker, manakala seorang ADUN Amanah turut menyertai tindakan tersebut. Akibatnya, lima ADUN Pakatan Harapan berpindah ke blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri Melaka.
Lebih mengejutkan, kepimpinan DAP Melaka mengisytiharkan bahawa tiada lagi kerjasama politik dengan BN di peringkat negeri dan memberi bayangan bahawa mereka bersedia bergerak secara bersendirian pada pilihan raya negeri akan datang.
Perkembangan ini meletakkan PH dalam keadaan yang janggal.
Di peringkat Persekutuan, PH dan BN merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Namun di Melaka, hubungan kedua-duanya retak secara terbuka sehingga menimbulkan persoalan mengenai kesepaduan gabungan tersebut.
Situasi itu akhirnya memerlukan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dilaporkan menggesa supaya pertikaian tersebut tidak diperbesarkan dan diselesaikan melalui rundingan.
Hakikat bahawa Perdana Menteri sendiri perlu meredakan konflik di Melaka menunjukkan isu itu bukan lagi sekadar pertikaian negeri, tetapi telah menjadi cabaran politik kepada keseluruhan gabungan PH.
Inilah yang menjadikan Negeri Sembilan lebih sukar buat PH berbanding Johor.
Di Johor, PH memasuki pilihan raya sebagai pencabar. Di Negeri Sembilan pula, PH ialah kerajaan yang perlu mempertahankan prestasi pentadbirannya yang dilihat lemah apabila konflik undang-undang Tubuh Kerajaan negeri dilihat gagal diurus dengan sempurna oleh kerajaan PH.
Dalam politik, persepsi sering kali lebih penting daripada penjelasan. Apabila rakyat melihat parti-parti dalam satu gabungan saling bertelagah secara terbuka, keyakinan terhadap kemampuan mereka untuk mentadbir secara kolektif boleh terjejas.
Lawan politik pula hampir pasti akan menggunakan perkembangan di Melaka untuk membina naratif bahawa PH sedang berdepan krisis dalaman dan kehilangan kesepaduan.
Malah, konflik undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan juga menjadi punca utama UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PH hingga menjadi faktor utama pembubaran Dewan Undangan negeri. Ini akan menjadi naratif prestasi kerajaan negeri pimpinan PH.
Lebih membimbangkan, kemelut ini berlaku ketika PH masih berusaha memulihkan sokongan pengundi Melayu selepas keputusan PRN Johor yang menyaksikan kemerosotan ketara sokongan terhadap gabungan tersebut. Tumpuan kepimpinan yang sepatutnya difokuskan kepada strategi kempen kini terpaksa dibahagikan untuk menguruskan konflik dalaman.
Bagi pengundi atas pagar, persoalan yang mungkin timbul bukan lagi sekadar siapa menawarkan manifesto terbaik, tetapi siapa yang dilihat lebih stabil untuk mentadbir selepas pilihan raya.
Justeru, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar ujian terhadap kekuatan jentera PH, malah menjadi referendum terhadap kesepaduan Kerajaan Perpaduan sendiri. Sekiranya kemelut DAP Melaka terus berpanjangan sepanjang tempoh kempen, ia berpotensi menenggelamkan mesej yang ingin dibawa PH kepada rakyat.
Rashid Azlan, Johor Bahru.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.