
KUALA LUMPUR | 23 Ogos 26 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan menteri daripada PKR sebagai “bebal tak bertempat” ketika membidas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berhubung isu Taiwan.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Fahmi cuba mempertahankan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai kemungkinan penyatuan Taiwan dengan China menggunakan hujah yang dangkal.
“Fahmi Fadzil, ini bukan portfolio kamu. Jangan cuba tipu rakyat dengan hujah dangkal sebegini,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurutnya, tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini masuk campur sedalam dan sejauh ini dalam menyokong usaha ketenteraan oleh mana-mana pihak untuk “merdekakan” Taiwan di bawah “Dasar Satu China”.
Beliau berkata, pendirian itu bertentangan dengan garis merah dasar luar Malaysia selama ini.
“Malaysia tidak mencampuri urusan dalam negara lain dan tidak akan terlibat menyokong sebarang bentuk keganasan dan ketenteraan dalam penyelesaian konflik,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal turut menggambarkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menurutnya kini terpaksa melakukan “damage control” susulan kenyataan Perdana Menteri.
“Ini kerja Menteri Luar Tok Mat (Mohamad Hasan) yang sudah pasti tengah pening kepala ‘damage control’ kenyataan tak cerdik daripada Perdana Menteri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya PAS tidak dijadikan “straw man” dalam usaha mempertahankan pendirian kerajaan berhubung isu tersebut.
“Jangan jadikan PAS ‘straw man’ dalam mempertahankan kesilapan kamu yang mengundang padah ke atas negara!” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal kemudian menutup kenyataannya dengan kritikan keras terhadap barisan menteri PKR.
“Menteri PKR semua jenis bebal tak bertempat!” katanya.
Terdahulu, Fahmi dalam satu laporan media, mempertahankan pendirian Anwar mengenai China-Taiwan. Pada 22 Ogos, Fahmi berkata dakwaan bahawa kenyataan Anwar boleh meletakkan Malaysia dalam kedudukan diplomatik yang sukar adalah tidak benar. Menurutnya, pendirian Malaysia mengenai China-Taiwan kekal sejak zaman Tun Abdul Razak dan kenyataan Anwar selari dengan pendirian Wisma Putra. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.