Ketua BERSATU Besut Letak Jawatan, Umum Sokongan Kepada Gerakan RESET

BESUT | 10 Jun 26 — Ketua Bahagian BERSATU Besut, Wan Arif Rashidin Wan Yusof mengumumkan peletakan jawatan beliau bersama beberapa pemimpin parti di peringkat bahagian, cawangan dan negeri berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata keputusan itu dibuat secara sepakat bersama Timbalan Ketua Bahagian, Wan Haji Sani, serta barisan kepimpinan lain susulan kekecewaan terhadap cara pucuk pimpinan pusat mengendalikan beberapa isu yang melanda parti kebelakangan ini.

Menurutnya, antara faktor utama yang mendorong tindakan tersebut ialah kegagalan kepimpinan tertinggi parti menyelesaikan isu melibatkan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) sehingga membawa kepada perpecahan yang besar.

“Kami amat kecewa apabila isu bersama rakan komponen tidak dapat ditangani dengan baik sehingga menimbulkan perpecahan yang memberi kesan besar kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengkritik pengurusan isu pemecatan beberapa Ahli Parlimen dan ahli Bersatu yang disifatkan tidak dilakukan secara berhemah sehingga mencetuskan keretakan dalaman.

Selain itu, beliau berpandangan Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin, terlalu bergantung kepada beberapa pemimpin kanan parti dalam membuat keputusan sehingga mengehadkan ruang pandangan daripada pihak lain.

“Kami melihat banyak keputusan yang dibuat tidak membantu memperkukuhkan parti dan menyebabkan suara pimpinan lain tidak diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Mengulas langkah seterusnya, Wan Arif berkata beliau dan kumpulannya akan meneruskan perjuangan politik melalui platform baharu yang dianggap lebih sesuai untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya di daerah Besut.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan bahawa mereka telah sepakat untuk memberikan sokongan kepada Gerakan RESET yang dipimpin oleh Hamzah Zainudin.

“Kami merasakan perlu ada platform politik yang baharu dan lebih baik. Setelah berbincang, kami membuat keputusan untuk memberi sokongan kepada RESET yang akan menjadi wadah perjuangan baharu kami bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” katanya.

Semalam, PAS mengumumkan mengehentikan kerjasama dengan parti BERSATU. Keputusan tersebut diumumkan oleh Presiden PAS, Tan Sri haji Abdul Hadi Awang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share