Saman Yusoff Rawther: Prosiding Dibuka Kepada Awam, Saksi Beri Keterangan Melalui Zoom

KUALA LUMPUR | 1 Okk 26 — Mahkamah Tinggi membenarkan prosiding bagi menentukan isu awalan berkaitan kejadian 2 Oktober 2018 dijalankan secara Zoom, namun kekal terbuka kepada orang awam dan media.

Peguam Yusoff Rawther, Rafique Rashid Ali, berkata mahkamah secara khusus menetapkan prosiding itu tidak dijalankan secara in-camera dan keterangan saksi tidak boleh dikemukakan melalui afidavit bertulis.

Sebaliknya, saksi perlu hadir memberikan keterangan secara langsung melalui Zoom.

“Prosiding ini terbuka kepada orang awam dan juga media serta pihak akhbar. Secara khusus, Yang Arif menyatakan bahawa ia terbuka kepada pihak media,” kata Rafique dalam ketika sidang media di mahkamah.

Menurut Rafique, keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi mendengar hujahan lisan, membaca hujahan bertulis serta hujahan tambahan pihak-pihak berhubung permohonan melalui Lampiran 186.

Lampiran 186 merupakan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya bagi menentukan terlebih dahulu beberapa persoalan berkaitan kejadian pada 2 Oktober 2018.

Antara persoalan yang akan ditentukan ialah sama ada Syukri Saad mengarahkan Yusoff Rawther pergi ke rumah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh berkenaan, sama ada Yusoff pergi ke Segambut Residence bersama Norafi Ahmad atau Dekdi, serta sama ada berlaku pertemuan antara Anwar, Faraj Fawad dan Yusoff Rawther pada tarikh tersebut.

Rafique menjelaskan persoalan itu akan ditangani sebagai isu awalan, bukannya melalui perbicaraan penuh mengikut turutan biasa pemanggilan saksi.

Beliau berkata mahkamah turut memberi kebenaran kepada pihak-pihak untuk membawa saksi berkaitan bagi membuktikan keberadaan mereka serta kejadian yang dikatakan berlaku di Segambut Residence pada 2 Oktober 2018. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share