
KUALA LUMPUR | 18 Julai 2026 – Kerajaan digesa melaksanakan liberalisasi import daging babi secara terkawal sebagai pelan penyelesaian jangka panjang bagi menutup sepenuhnya ladang penternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang telah membelenggu penduduk setempat sejak berpuluh tahun lalu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu yang mencontohi model negara Singapura, dapat menyelesaikan isu pencemaran sisa penternakan tanpa menjejaskan hak pengguna bukan Islam untuk mendapatkan bekalan daging berkenaan.
Menurut Wan Saiful, Singapura tidak membenarkan aktiviti penternakan babi di dalam negara mereka, sebaliknya meliberalisasikan import dari negara luar seperti Australia, Brazil, Eropah, Taiwan, dan China dengan syarat sanitasi dan kualiti yang sangat ketat.
“Kita perlu melihat isu bekalan daging babi dari sudut ekonomi dan hak pengguna bukan Islam. Langkah liberalisasi ini merupakan ‘exit plan’ atau pelan keluar yang jelas berbanding terus beretorik tanpa jalan penyelesaian konkrit,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan cadangan tersebut telah dikemukakan secara rasmi kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, dalam Sesi Kamar Khas di Parlimen baru-baru ini.
Bagi memastikan nasib para pengusaha ladang terbela, Wan Saiful mencadangkan agar kerajaan merangka Pelan Transisi Industri untuk membantu penternak beralih kepada sektor pertanian moden atau industri hiliran yang lebih mesra alam.
Beliau mengambil contoh kejayaan kerajaan terdahulu dalam mentransisikan penanam tembakau kepada tanaman kenaf sebagai model yang boleh diguna pakai untuk industri penternakan babi di Kampung Selamat.
“Langkah 1, melaksanakan liberalisasi import secara terkawal dan ketat.
“Seterusnya, mengurangkan saiz dan bilangan ladang babi tempatan secara berperingkat.
“Dan terakhir sekali, membantu penternak beralih ke industri hiliran atau pertanian moden bernilai tinggi.
“Di mana matlamat akhirnya adalah penutupan sepenuhnya ladang babi di Kampung Selamat untuk memulihkan Sungai Kreh,” katanya.
Mengulas mengenai laporan bahawa Pulau Pinang telah mencapai tahap 100 peratus pemodenan ladang babi dengan sistem rawatan biogas, Wan Saiful menegaskan bahawa usaha pemodenan sahaja masih belum mencukupi.
“Sehingga hari ini, saya sendiri masih boleh menghidu bau busuk dari rumah saya yang terletak sekitar 15 minit dari Kampung Selamat. Ini bermakna keresahan penduduk tempatan dan pencemaran Sungai Kreh masih belum diselesaikan sepenuhnya,” jelas beliau.
Bagi memperincikan garis masa penutupan dan pelan transisi tersebut, Wan Saiful turut meminta Timbalan Menteri untuk mengadakan pertemuan rasmi dengan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tasek Gelugor, Azlan Roni.
Beliau menegaskan bahawa isu ini bukanlah polemik politik, perkauman, mahupun agama, sebaliknya merupakan isu kelangsungan hidup, kesihatan, dan keselesaan rakyat yang menuntut tindakan berani daripada pihak kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin menolak cadangan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan supaya kerajaan menutup semua kegiatan penternakan babi di kawasan Sungai Kereh, Pulau Pinang susulan isu pencemaran sungai.
Menurut Chan, tindakan kerajaan seharusnya disasarkan kepada pengusaha yang melanggar undang-undang alam sekitar, bukannya menghukum keseluruhan industri yang beroperasi secara sah dan mematuhi peraturan.
Isu pencemaran dari ladang babi sudah berlarutan sejak sekian lama, pada 2019, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa pencemaran najis babi di Sungai Kereh semakin serius dan menjejaskan lebih 2,000 penduduk serta kira-kira 400 pesawah di beberapa kampung sekitar Tasek Gelugor. CAP mendakwa sisa ternakan dilepaskan ke sungai sehingga menyebabkan air menjadi hitam, berbau busuk dan menjejaskan hasil pertanian. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.