MP Machang Persoal Kuasa MCMC: Siapa Kawal Pengawal Selia?

PARLIMEN | 16 Julai 26 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan pengembangan kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi rang undang-undang berkaitan keselamatan digital, dengan membangkitkan persoalan mengenai mekanisme semak dan imbang terhadap institusi berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wawasan Negara berkata, kerajaan yang matang tidak seharusnya takut kepada media, wartawan atau kritikan rakyat kerana demokrasi tidak dibina atas pujian semata-mata, sebaliknya atas keberanian menerima teguran.

“Kerajaan yang matang tidak takut kepada media. Kerajaan yang matang tidak takut kepada wartawan. Kerajaan yang matang tidak takut kepada kritikan rakyat,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, usaha memperkukuhkan keselamatan siber, membanteras penipuan dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak dan jenayah siber perlu disokong, namun ia tidak boleh dilakukan dengan memperbesarkan kuasa pengawal selia tanpa memperkukuhkan mekanisme kawalan.

“Persoalan terbesar hari ini bukan sama ada MCMC memerlukan lebih banyak kuasa. Persoalannya ialah siapakah yang mengawal MCMC apabila MCMC diberi lebih banyak kuasa,” katanya.

Beliau turut memberi contoh kuasa badan pengawal selia di United Kingdom dan Australia yang menurutnya disertai proses konsultasi awam, ketelusan serta ruang semakan terhadap keputusan.

Dalam masa sama, beliau membangkitkan pengalaman peribadi apabila mendakwa rakaman perbahasan beliau di Dewan Rakyat pada Januari 2024 berkaitan hubungan PKR dengan Liberal International telah diarahkan diturunkan daripada platform Meta oleh MCMC.

Beliau berkata tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai kebebasan bersuara khususnya apabila perkara tersebut melibatkan perbahasan yang dibuat dalam Parlimen.

“Institusi yang dihormati bukan institusi yang paling digeruni. Institusi yang dihormati ialah institusi yang paling dipercayai,” katanya.

Beliau mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk pelantikan pengerusi MCMC melalui pengesahan jawatankuasa khas Parlimen, pembentangan setiap arahan menteri kepada MCMC di Parlimen serta penubuhan tribunal rayuan bebas bagi mencabar keputusan suruhanjaya tersebut.

“Media bukan musuh kerajaan,” katanya sambil mengingatkan agar kuasa pengawalseliaan tidak digunakan untuk menyekat ruang demokrasi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share