
KUALA LUMPUR | 14 Mac 26 — Cadangan supaya kakitangan kementerian menanam sayur-sayuran di rumah tidak boleh dianggap sebagai jawapan serius kepada cabaran keterjaminan makanan negara, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu yang menggalakkan kakitangan kementeriannya bercucuk tanam di rumah sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan bekalan makanan global.
Menurut Wan Saiful, walaupun usaha menggalakkan rakyat bercucuk tanam adalah sesuatu yang baik, pendekatan tersebut tidak mampu menangani cabaran sebenar yang dihadapi sektor makanan negara.
“Isu keterjaminan makanan Malaysia adalah isu struktur yang jauh lebih besar. Negara masih bergantung kepada import makanan bernilai berpuluh bilion ringgit setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa tanaman kecil di halaman rumah mungkin bermanfaat untuk kegunaan sendiri, namun ia tidak memberi kesan signifikan kepada bekalan makanan negara secara keseluruhan.
Tambahnya, mengulangi pendekatan kempen lama seperti Kempen Buku Hijau tanpa pembaharuan dasar yang menyeluruh juga tidak memadai untuk menangani cabaran sektor pertanian moden.
Wan Saiful berkata, antara masalah utama yang perlu diberi perhatian kerajaan ialah produktiviti pertanian yang rendah, pengurangan tanah pertanian, peningkatan kos input serta kelemahan dalam rantaian bekalan makanan.
Menurut beliau, kementerian seharusnya memberi tumpuan kepada penyelesaian dasar yang lebih menyeluruh seperti meningkatkan produktiviti pertanian, memperkukuh rantaian bekalan dan memperluaskan penggunaan teknologi pertanian moden.
“Keterjaminan makanan adalah tanggungjawab dasar negara, bukan sesuatu yang boleh dipindahkan kepada inisiatif individu semata-mata,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Saiful menegaskan Malaysia memerlukan pelan keterjaminan makanan yang serius, berasaskan data dan strategi jangka panjang bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.
“Saranan seperti itu tidak selayaknya dikemukakan oleh seorang menteri yang bertanggungjawab mengurus keterjaminan makanan negara,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.