Muhyiddin Perlu Bijak Baca ‘Isyarat’, Tahu Bila Harus Berundur

Mungkin boleh menjadi antara ironi terbesar dalam senario politik mutakhir tanah air apabila Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka menuduh Tan Sri Muhyiddin mencuri wang parti, beberapa hari selepas dua bekas Perdana Menteri itu duduk bersama menghadiri satu sidang media.

Presiden BERSATU itu seakan-akan diaibkan tanpa belas dan keperibadian Muh­yiddin dilihat kerap menjadi sasaran tujahan pelbagai isu kebelakangan ini, hingga mencetuskan persoalan sama ada ini

menjurus kepada pembunuhan karakter yang pasti menambah gelora dalaman parti.

Tuduhan itu sudah dinafikan Muhyiddin melalui kenyataan media, namun jelas menggambarkan wujud situasi canggung di situ.

Pastinya, ia bukan pertama kali Muhyiddin ‘dimalukan’ seperti itu walaupun sebelum ini

‘serangan’ terbabit dilakukan dalam platform berbeza.

Menyorot beberapa situasi yang melihat kepemimpinan dan kedudukan Muhyiddin tidak lagi ‘dihormati’, contoh sama melalui kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dalam isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini.

Melalui kenyataan 10 Disember lalu, Muhyiddin menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan daripada PAS, iaitu satu-satunya wakil PN yang memenangi kerusi DUN di Sabah, tidak akan menyertai kerajaan negeri itu.

Hanya sehari selepas kenyataan itu dibuat, PAS mengumumkan Aliakbar memberikan sokongan kepada kepemimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Ada yang menyebut sebelum ini, isu untuk ‘menjatuhkan’

Muhyiddin sepatutnya sudah selesai apabila Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada September lalu, sepakat meluluskan usul menamakan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti berkenaan.

Namun nampaknya ‘gerakan’ untuk menuntut pengunduran beliau tidak berhenti setakat itu sahaja, sekali gus jelas menggambarkan kesepakatan yang ditetapkan pada Perhimpunan Agung Tahunan, iaitu wadah tertinggi dalam membawa suara parti tidak lagi dihormati.

Selain tuntutan pengunduran Muhyiddin oleh sebahagian kepemimpinan di Sabah susulan prestasi buruk BERSATU yang gagal memenangi sebarang kerusi DUN pada Perhimpunan Agung Tahunan negeri itu daripada 31 yang ditandingi, gerakan sama juga sudah merebak ke negeri lain.

Gagal tutup suara penolakan

Terbaharu, 14 Bahagian BERSATU Perak turut menggesa Muhyiddin berundur daripada jawatan dan mengambil kira kebimbangan survival parti mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Muhyiddin seharusnya sudah boleh membaca semua isyarat itu, apatah lagi gerakan yang mahu beliau berundur sudah lama kedengaran, iaitu sejak 2021 lagi. Namun, suara berani itu semakin kuat nadanya pada tahun ini, apabila wujud sebahagian akar umbi yang mahu Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggantikan tempat Muhyiddin.

Usaha terdesak Muhyiddin yang dilihat turun ke beberapa negeri bagi ‘mengemis’ sokongan, selain menjemput 18 Ahli Parlimen ke kediamannya, bulan lalu, gagal menutup suara penolakannya. Sampai bila agaknya maruah seorang pemimpin yang dulunya disanjung tinggi dan disayangi rakyat sehingga digelar dengan panggilan ‘abah’ perlu dipijak?

Realiti pahit ini perlu direnung sedalam-dalamnya oleh Muhyiddin, apatah lagi BERSATU tidak mempunyai banyak masa untuk mengatur strategi menuju kepada PRU16. Sejarah membuktikan pemimpin besar bukan dinilai ketika berkuasa, tetapi ketika tahu bila harus berundur.

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi contohnya melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2009 selepas wujud tekanan politik, susulan keputusan pilihan raya yang tidak memberangsangkan ketika itu. Kadangkala kita perlu belajar untuk melepaskan tali yang terlalu kuat dipaut selama ini daripada terus rasa sakit kerana menggenggamnya terlalut erat.

Suara akar umbi perlu dan pemimpin tidak boleh dikesamping. Sampai bila setiap kali wujudnya pemimpin yang meminta Presiden berundur mahu diambil tindakan?

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah yang pernah dipanggil Lembaga Disiplin sebelum ini kerana dikatakan mencemar imej parti juga mengharapkan penyelesaian terbaik buat BERSATU.

Ketika dihubungi BH, Saifuddin berkata, penyelesaian perlu dilakukan segera kerana masa semakin suntuk yang dikhuatiri memberi natijah buruk buat parti, jika langkah itu dilengahkan.

Beliau berkata, penubuhan Jawatankuasa Pengukuhan Parti yang dipengerusikan Tan Sri Rais Yatim diharap dalam mencari punca utama yang menyebabkan terzahirnya pelbagai desakan bagi Muhyiddin berundur daripada pelbagai pihak dan mencadangkan penyelesaiannya.

“Saya dipanggil oleh Lembaga Disiplin sebelum ini kerana dikatakan mencemarkan imej parti sebab saya secara terbuka meminta Muhyiddin berundur.

“Sebenarnya, saya ingin menyelamatkan BERSATU supaya parti memenangi PRU16 dengan cara mengemuka tawaran dan wajah segar kepada rakyat,” katanya. Beliau berkata, pihaknya tidak mahu nasib PN menjadi  seperti Parti Demokrat dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) yang lalu.

Katanya, kelewatan Demokrat menggantikan bekas Presiden AS, Joe Biden dengan bekas Naib Presiden AS Kamala Harris sebagai calon menyebabkan mereka tewas. “Kelewatan itu menyebabkan

Demokrat tidak sempat menyusun strategi baharu untuk melawan Donald Trump,” katanya.

Artikel ini telah disiarkan di Berita Harian 16 Dis 25 – Suzalina Halid

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Kerana Apa Melayu Mesti Terus Pimpin Negara?

Tetapi pada masa sama, beliau menekankan bahawa orang Melayu sebagai kaum majoriti dan penduduk asal perlu kekal berperanan sebagai pentadbir utama, agar struktur negara kekal stabil dan tidak terdedah kepada ketegangan kaum yang merugikan semua pihak.
Read More
Total
0
Share