
KUALA LUMPUR, 25 Sep 25 — Dewan Muslimat PAS Terengganu mendesak agar kerajaan negeri menggantung sementara kenaikan kadar tarif air dan melakukan kajian menyeluruh supaya beban kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, tidak bertambah berat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ketuanya, Zarani Othman, pihak kerajaan negeri boleh mempertimbangkan subsidi bersasar khususnya untuk isi rumah B40. Pada masa sama, beliau menyarankan agar struktur blok tarif bagi penggunaan melebihi 20 meter padu dikaji agar kadar lebih adil diterapkan.
“Walaupun kami faham keperluan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) menampung kos operasi dan penyelenggaraan, kenaikan mendadak ini akan memberi tekanan besar kepada rakyat terutama keluarga besar dan golongan berpendapatan rendah,” kata Zarani.
Laporan sebelumnya menyebut bahawa tarif air domestik di Terengganu telah dinaikkan sebanyak lapan sen per meter padu bagi penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan, berkuat kuasa mulai 1 Ogos lalu. Dengan kadar baru tersebut, caj minimum penggunaan bagi pelanggan domestik naik kepada RM6.60 sebulan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat, telah menggesa pengguna agar lebih berjimat dalam penggunaan air harian supaya tidak terkesan oleh kenaikan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.