Pengguna Diesel B40/M40 ‘Terhukum’ – Dakwa Pemuda PAS Selangor

KUALA LUMPUR | 30 Mac 26 — Pemuda PAS Selangor mendakwa dasar subsidi bahan api kerajaan ketika ini mewujudkan keadaan tidak adil apabila golongan B40 dan M40 yang menggunakan diesel terpaksa menanggung kos lebih tinggi berbanding golongan berpendapatan tinggi (T20) yang menikmati subsidi petrol RON95.

Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, situasi itu bercanggah dengan prinsip yang pernah ditegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini untuk “mengambil daripada orang kaya bagi membantu golongan miskin”.

“Realitinya hari ini tidak selari dengan apa yang diucapkan. Golongan B40 dan M40 yang bergantung kepada diesel untuk kelangsungan hidup kini terbeban dengan kenaikan harga yang mendadak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, harga diesel di Semenanjung yang mencecah sekitar RM5.52 seliter memberi tekanan besar khususnya kepada peniaga kecil dan individu yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk menjana pendapatan.

Beliau turut memetik data Kementerian Kewangan yang menganggarkan sekitar 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian terdiri daripada golongan B40 dan M40.

Katanya, bagi penggunaan 200 liter sebulan, kumpulan tersebut terpaksa menanggung kos sekitar RM804 walaupun selepas menerima bantuan BUDI sebanyak RM300.

Sebaliknya, menurut beliau, pengguna petrol RON95 – yang didakwa turut merangkumi golongan T20 – hanya membayar sekitar RM398 bagi jumlah penggunaan yang sama.

“Ini bermakna golongan berpendapatan rendah membayar hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding golongan kaya. Ini menimbulkan persoalan besar terhadap keadilan dasar semasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyemak semula kadar bantuan BUDI Diesel yang disifatkan tidak lagi relevan dengan harga pasaran semasa.

“Kerajaan perlu bertindak segera bagi memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar melindungi golongan sasar, bukan sebaliknya menghukum mereka,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar bantuan bulanan kepada pengguna diesel dalam kalangan B40 dan M40 dipertingkatkan sekurang-kurangnya kepada RM500 bagi mengimbangi kenaikan kos.

Perdebatan berterusan berhubung rasionalisasi subsidi bahan api apabila kerajaan sebelum ini menegaskan langkah tersebut bertujuan mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan lebih bersasar. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share