
KUALA LUMPUR | 28 Jun 26 — Selepas hampir tiga dekad berada di belakang tabir pembentukan dasar negara, tokoh korporat dan strategis dasar, Datuk Omar Mustapha, mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dengan memegang jawatan Naib Presiden.
Menerusi kenyataan di Facebook, Omar berkata keputusan itu lahir daripada kesedaran bahawa memahami sesuatu masalah tidak lagi mencukupi jika tidak disusuli dengan keberanian untuk menyelesaikannya.
“Saya tidak pernah menyangka bahawa pada usia ini saya akan memulakan satu perjalanan yang baharu,” katanya.
Menurut beliau, selama hampir 30 tahun beliau berada dekat dengan proses membuat keputusan dasar negara sebagai penasihat, pembina institusi serta penulis mengenai tadbir urus negara. Namun, pengalaman itu akhirnya membawa kepada satu kesimpulan bahawa perubahan sebenar hanya boleh dicapai melalui penglibatan secara langsung dalam politik.
“Itulah sebabnya saya mengambil keputusan ini. Saya sedar laluan yang saya pilih bukanlah mudah. Saya juga sedar bahawa mulai hari ini, saya akan dinilai bukan lagi berdasarkan apa yang saya mampu kupaskan, tetapi berdasarkan apa yang saya mampu lakukan,” katanya.
Omar menyertai WAWASAN yang dipimpin Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ketika parti itu sedang memperkukuh barisan kepimpinan menjelang fasa baharu landskap politik negara.
Beliau bukan nama asing dalam dunia dasar awam dan korporat. Kerjayanya bermula di PETRONAS dalam Bahagian Perancangan Korporat sebelum berkhidmat di Multimedia Development Corporation (kini MDEC) dan firma perunding global McKinsey & Company. Beliau kemudiannya mengasaskan Ethos & Company, sebuah firma perunding strategi tempatan yang banyak terlibat dalam projek transformasi sektor awam dan swasta.
Omar turut pernah berkhidmat sebagai Pembantu Khas kepada Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, selain pernah menganggotai Lembaga Pengarah PETRONAS sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
Dalam catatan yang turut diterbitkan di blog peribadinya, Omar menyifatkan penyertaannya ke dalam politik sebagai penamat kepada fasa sekadar memerhati.
“Waktu sekadar menjadi pemerhati terhormat telah berakhir,” tulisnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.