
PARLIMEN | 21 Jan 26 — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyindir Kerajaan Madani sebagai sebuah pentadbiran yang gagal menunaikan janji apabila apa yang dijanjikan kepada rakyat tidak selari dengan realiti yang diterima, khususnya oleh generasi muda.
Dalam ucapan perbahasan Titah Diraja, beliau menyamakan situasi semasa dengan ungkapan popular anak muda, “order barang lain, sampai barang lain”, sebagai gambaran jelas kekecewaan rakyat terhadap prestasi kerajaan.
“Rakyat mengimpikan kerajaan yang adil, telus, prihatin dan berprinsip. Namun apa yang berlaku hari ini menimbulkan defisit kepercayaan terhadap kepimpinan negara,” katanya.
Hamzah turut membandingkan kepimpinan ideal dengan contoh Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah berlandaskan prinsip keadilan, integriti dan amanah, sambil memberi isyarat bahawa standard tersebut masih belum dicapai oleh kerajaan semasa.
Beliau menegaskan bahawa kegagalan menepati janji bukan sahaja menjejaskan kepercayaan rakyat, malah melemahkan asas tadbir urus negara jika dibiarkan berlarutan.
“Oleh sebab itu, peranan pembangkang yang bertanggungjawab amat penting bagi memastikan kerajaan tidak tersasar daripada landasan yang sepatutnya,” katanya.
Ucapan tersebut dilihat sebagai kritikan langsung terhadap naratif Madani yang menurut pembangkang masih belum diterjemahkan kepada hasil sebenar di peringkat pelaksanaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.