
KUALA LUMPUR | 6 Ogos 26 – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan supaya menyegerakan pelantikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi memastikan pengurusan sektor penanaman padi negara tidak terjejas.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kekosongan jawatan itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan memandangkan MADA memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negara.
Menurut beliau, jawatan berkenaan dilaporkan telah kosong selama 83 hari, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kelancaran pentadbiran agensi tersebut.
“PAC menyokong gesaan Ahli Parlimen Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, agar pelantikan baharu dibuat dengan segera demi memastikan kebajikan pesawah dan kelangsungan pengeluaran padi negara terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mas Ermieyati berkata, MADA merupakan institusi penting dalam sektor pertanian negara kerana agensi itu menguruskan kawasan jelapang padi terbesar di Malaysia.
Beliau berkata, pelbagai isu sedang dihadapi oleh golongan pesawah ketika ini, termasuk kelewatan bekalan baja bersubsidi, gangguan sistem pengairan serta peningkatan kos pengeluaran.
“Agensi yang begitu penting tidak sepatutnya dibiarkan tanpa kepimpinan dalam tempoh yang terlalu lama, terutama ketika pesawah berdepan pelbagai cabaran,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa PAC sedang menjalankan siasatan khas berhubung pengurusan program penanaman padi serta sistem pengagihan subsidi benih padi di seluruh negara.
Katanya, siasatan tersebut bertujuan mengenal pasti kelemahan dalam sistem sedia ada, selain mengemukakan cadangan bagi memperkukuhkan tadbir urus sektor pertanian dan menjamin bekalan makanan negara.
Isu berkenaan dijangka terus menjadi perhatian berikutan peranan penting MADA dalam memastikan kestabilan pengeluaran beras tempatan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.