
KUALA LUMPUR, 5 MEI 25 – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa kerajaan menangguhkan dasar fiskal seperti penarikan subsidi RON95 dan kenaikan tarif elektrik berikutan kebimbangan terhadap tekanan kewangan ke atas rakyat akibat tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
Hamzah berkata, penarikan subsidi petrol RON95 sebagai bahan api utama kebanyakan pengguna kenderaan harian dibimbangi bakal menambahkan tekanan kepada kos sara hidup akibat kesan tarif AS terhadap sektor perdagangan negara.
“Kita harus menangguhkan sebarang perubahan dasar, terutama dasar fiskal negara yang boleh memberi tekanan kepada kos, melemahkan sentimen perniagaan dan akhirnya membebankan pengguna.
“Saya hendak beri contoh mengenai kenaikan harga RON95 Julai ini (apabila subsidi ditarik balik), kerajaan akan ambil kira dan kalau boleh tangguh, kita tangguh. Sama juga dengan kenaikan tarif elektrik pada Julai,” katanya ketika sidang khas Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Hamzah turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa kaukus yang dibarisi oleh ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan mengenai isu tarif timbal balik AS tersebut.