Parti Baru Semakin Hampir, Lebih 100 Bahagian Dijangka Sertai RESET – Saifuddin

KUALA LUMPUR | 14 Mei 26 — Gerakan RESET dilihat semakin menghampiri fasa penting apabila khabar mengenai penubuhan sebuah parti baharu kini semakin kuat diperkatakan, sekali gus menandakan berlakunya gelombang politik baharu dalam kalangan bekas pimpinan dan akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Salah seorang pemimpin gerakan itu, Saifuddin Abdullah berkata, RESET bukan sekadar gerakan politik biasa, sebaliknya membawa gagasan “Konsensus Nasional Baru” dengan matlamat membina Malaysia yang lebih maju, makmur dan bahagia.

Menurut beliau, gerakan yang dipimpin Hamzah Zainudin itu kini semakin mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak sehingga menjadi “buah mulut, ikutan dan trending”.

Apa yang paling mencuri perhatian ialah dakwaan bahawa gerakan tersebut kini disokong oleh 19 Ahli Parlimen Bersatu atau bekas Bersatu, selain kira-kira 120 bekas Ketua Bahagian Bersatu di seluruh negara.

Perkembangan itu dilihat memberi gambaran bahawa RESET bukan lagi sekadar wacana politik, tetapi mula membentuk kekuatan organisasi yang tersusun di peringkat akar umbi.

Selain kelompok bekas pimpinan Bersatu, Saifuddin turut mendakwa terdapat sejumlah besar penyokong yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini, namun memilih untuk bersama RESET kerana tertarik dengan gagasan perubahan yang dibawa.

Pemerhati politik melihat angka 19 Ahli Parlimen dan 120 bekas Ketua Bahagian sebagai petunjuk awal bahawa gerakan itu berpotensi membina jaringan nasional yang signifikan sekiranya parti baharu benar-benar diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, kenyataan Saifuddin turut memberi bayangan wujudnya peralihan sokongan dalam kalangan struktur akar umbi Bersatu apabila beliau mendakwa sebahagian besar pasukan yang sebelum ini menguasai bahagian telah memilih untuk bersama RESET.

Beliau mendakwa usaha Bersatu menaja kepimpinan baharu di beberapa bahagian hanyalah melibatkan kelompok yang pernah tewas kepada pasukan asal yang kini menyertai gerakan tersebut.

Kenyataan itu sekali gus menguatkan persepsi bahawa pertarungan politik ketika ini bukan lagi sekadar soal parti, tetapi perebutan pengaruh dan jentera akar umbi menjelang fasa politik baharu pembangkang.

Dengan pengumuman parti baharu dikatakan hanya menunggu masa, RESET kini dilihat sedang bergerak daripada sebuah gagasan kepada satu gelombang politik yang lebih tersusun dan berpengaruh. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share