
MELAKA, 8 DIS 25 — Ketua Pembangkang Melaka, YB Dr Mohd Yadzil Yaa’kub, menyifatkan Bajet Negeri Melaka 2026 sebagai dokumen tidak kukuh serta sarat kelompongan asas, meskipun kerajaan negeri menampilkan naratif kestabilan.
Beliau mempersoalkan defisit RM92.9 juta serta penggunaan RM56.6 juta hasil negeri bagi perbelanjaan pembangunan, sambil menuntut penjelasan mengenai tahap kemampanan Kumpulan Wang Disatukan.
Menurut Dr Yadzil, bajet kali ini tidak menunjukkan keberanian politik untuk memposisikan Melaka dalam ekonomi masa depan.
Beliau menyifatkan tiada hala tuju jelas terhadap sektor berimpak tinggi seperti digitalisasi, teknologi AI dan ekonomi hijau, sambil menegaskan bahawa bajet tersebut hanya mengitar semula formula lama.
“Copy paste dari belanjawan yang lama dengan sedikit ubah suai. Tiada hala tuju ekonomi baharu,” katanya ketika membahaskan belanjawan itu.
Isu tadbir urus turut menjadi fokus utama apabila beliau mengkritik ketiadaan pembaharuan dalam GLC dan agensi negeri, termasuk status hutang syarikat milik kerajaan seperti Melaka Sentral, Melaka Finance House dan Kolej Yayasan Melaka.
Beliau mengingatkan bahawa dapatan audit sebelum ini mendedahkan masalah ketirisan serta kelemahan pengurusan.
“Jangan akhirnya dana ini hanya menjadi kelegaan aliran tunai anak Syarikat yang nazak,” tegasnya.
Dalam sektor pelancongan, warisan, pertanian dan keselamatan makanan, Dr Yadzil menegaskan bahawa kerajaan negeri gagal menawarkan strategi jangka panjang.
Beliau berkata Melaka masih bergantung hampir 80% kepada bekalan makanan dari luar tanpa roadmap keselamatan makanan, sementara pelancongan pula kekal tertumpu di bandar dan tidak memanfaatkan potensi luar bandar. Projek sakit, tanah rizab Melayu, dan isu kelulusan pemajuan turut tidak disentuh dalam bajet.
Dr Yadzil juga menegaskan bahawa Bajet 2026 tidak membawa pembaharuan struktur yang diperlukan rakyat Melaka. Beliau menyifatkan ia hanya slogan tanpa tindakan sebenar.
“Secara keseluruhan, bajet ini hanya sekadar slogan ‘demi rakyat, untuk rakyat’, namun realitinya masih belum menampakkan keberanian politik untuk melakukan perubahan,” katanya sambil menegaskan bahawa tegurannya adalah demi memastikan suara rakyat terus dijulang di Dewan Undangan Negeri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.