
KUALA LUMPUR, 2 Okt 25 – Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang semakin meruncing menjadi cerminan kepada kelemahan kepimpinan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menurut komentar ruangan Awang Selamat dalam akhbar Utusan Malaysia.
Awang menegaskan bahawa tiada pemimpin lain lebih layak menguruskan konflik dalam Bersatu selain Muhyiddin, namun kegagalannya bertindak segera telah membuka ruang kepada perebutan kuasa dan serangan terbuka antara pemimpin parti sendiri.
“Kalau ada penganalisis politik kata krisis yang berlaku sekarang menunjukkan kelemahan kepimpinan Muhyiddin, Awang boleh bersetuju juga. Sebab krisis dah makin serius. Isu calon perdana menteri punya pasal habis porak-peranda parti,” katanya.
Awang turut menyindir bahawa jika Muhyiddin tidak mampu mengawal keadaan, lebih baik menyerahkan sahaja urusan Perikatan Nasional (PN) kepada PAS.
Bagi Awang, punca perpecahan ini berakar daripada pencalonan Muhyiddin sebagai perdana menteri bagi gabungan PN, yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan Bersatu.
Selain itu, beliau menyifatkan perpecahan dalaman yang semakin parah membuatkan Bersatu menjadi bahan ketawa pihak luar.
“Bersatu tak payahlah nak sembang tinggi sangat termasuk nak jadi perdana menteri, tubuh kerajaan atau nak tawan Selangor. Selesaikan dulu konflik tuduh menuduh, serang menyerang dalam parti. Kalau Muhyiddin rasa dah tak boleh kawal, bagilah kepada orang lain yang boleh damaikan,” sindirnya.
Awang juga menempelak Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali, dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Datuk Wan Saiful Wan Jan yang terus bertelagah secara terbuka. Beliau malah mencadangkan Azmin menyaman Wan Saiful bagi membersihkan maruahnya susulan dakwaan mengaitkan nama Azmin dengan isu video seks yang pernah mencetuskan kontroversi.
Namun, Awang menekankan bahawa tanggungjawab utama tetap terletak di bahu Muhyiddin sebagai pengasas dan presiden parti.
“Oleh itu, Muhyiddinlah kena bertindak. Sebab krisis itu sudah masuk ‘level’ presiden kena uruskan. Takkan nak suruh Hamzah Zainudin pula, nanti ada kata timbalan presiden nak membayangi presiden,” tulisnya lagi.
Kritikan tajam Awang Selamat itu sekali gus menambah tekanan terhadap Muhyiddin yang dilihat semakin hilang kawalan ke atas Bersatu, ketika parti berdepan cabaran besar mengekalkan kesatuan menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.