
KUALA LUMPUR, 24 Mei 25 – Cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk membentuk semula negara melalui permuafakatan baharu perkara yang tepat buat masa ini, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Anggota majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu berkata, kerajaan hari ini dilihat gagal memenuhi harapan rakyat sehingga melunturkan kepercayaan mereka.
“Ringkasnya, Hamzah menghujahkan bahawa kerajaan Malaysia hari ini gagal memenuhi harapan rakyat kerana terlalu banyak pembohongan sehingga kepercayaan rakyat menjadi luntur.
“Dan untuk Malaysia melangkah ke hadapan menjadi lebih baik, kita perlu “reset” untuk membentuk satu konsensus baru yang didukung dan lebih dipercayai oleh rakyat,” katanya, dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas cadangan Hamzah ketika menyampaikan syarahan di Institut Yusof Ishak, baru-baru ini agar diusahakan satu konsensus nasional yang baharu untuk Malaysia.
“Hamzah juga menggariskan kerangka besar yang akan dibawa oleh PN untuk mengembalikan kecemerlangan Malaysia.
“Sewaktu pihak lain terlalu sibuk bergaduh dalam parti sendiri, berebut dan mencatur jawatan, tumpuan Hamzah dan PN kekal kepada rakyat dan negara,” katanya.
Dalam isu yang sama, Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpandangan, idea konsensus nasional bukan baharu dan pernah dibangkitkan sebelum ini.
Namun, katanya, PN perlu memberikan penjelasan berkenaan kaedah mereka untuk menangani konsensus berkenaan agama dan perkauman yang sensitif di negara ini. @politko.my