PAS Dilihat Lunak Dengan Gerakan Hamzah Dalam PN – Penganalisis

KUALA LUMPUR | 15 Mei 26 — Parti Islam Se-Malaysia dilihat semakin mengambil pendekatan lunak terhadap gerakan yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin dalam Perikatan Nasional, sekali gus memberi bayangan berlakunya perubahan pengaruh dalam gabungan pembangkang itu.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata perkembangan semasa menunjukkan PAS kini semakin menempatkan dirinya sebagai peneraju utama PN dan tidak lagi bergerak sepenuhnya di bawah bayangan kepimpinan Muhyiddin Yassin.

“Saya fikir perkembangan politik dalam Perikatan Nasional ini kita kena akui bahawa PAS adalah parti yang kini boleh menentukan hala tuju gabungan itu.

“Pada ketika ini PAS sedang menempatkan dirinya sebagai peneraju dalam Perikatan Nasional, atau dalam erti kata lain cuba keluar daripada bayangan Tan Sri Muhyiddin sendiri,” katanya dalam forum atas talian Agenda AWANI: Konflik Dalaman BERSATU.

Menurut beliau, ketidaksefahaman antara PAS dan Parti BERSATU sebenarnya sudah lama berlaku dan semakin ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, PAS beberapa kali dilihat mengambil pendirian yang berbeza daripada keputusan pimpinan tertinggi PN, termasuk dalam isu melibatkan politik Sabah.

“Kita lihat contohnya di Sabah, apabila pendirian rasmi PN ketika itu ialah tidak menyertai kerajaan negeri, tetapi ADUN PAS tetap menyokong kerajaan Sabah.

“Itu menunjukkan sudah ada perbezaan pendekatan antara PAS dan BERSATU,” katanya.

Beliau turut menyentuh perkembangan di Perlis yang menurutnya memperlihatkan pertentangan lebih serius antara kedua-dua parti tersebut.

Dalam masa sama, Dr Mazlan berpandangan PAS kini kelihatan lebih lunak terhadap gerakan baharu yang muncul selepas tindakan terhadap Hamzah, walaupun Muhyiddin didakwa beberapa kali mendesak supaya kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang digantikan.

“Setakat ini PAS seperti tidak mengambil apa-apa tindakan. Malah beberapa ADUN yang sebelum ini berada dalam kerajaan negeri juga masih dikekalkan. Katanya.

Menurut beliau, keadaan itu memberi gambaran bahawa PAS kini sudah mempunyai hala tuju politik tersendiri dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada BERSATU dalam menentukan masa depan PN.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan PAS sedang menyusun percaturan politik baharu menjelang PRU16, termasuk membuka ruang kepada kerjasama dengan blok politik yang berbeza.

“Saya fikir selepas jawatan Pengerusi Perikatan Nasional dimainkan oleh pemimpin utama PAS, agenda politik masa depan kemungkinan akan berubah.

“Ada kemungkinan PAS akan membentuk ‘line-up’ baharu dan membuat percaturan politik baharu bersama rakan yang baharu menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Menurut Dr Mazlan, kedudukan BERSATU ketika ini juga tidak lagi dilihat sebagai parti dominan dalam menentukan arah tuju PN, sebaliknya pengaruh tersebut semakin beralih kepada PAS. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Dokumen Bocor Dakwa Usaha Singkir Hamzah

Memo tersebut antara lain menuduh Hamzah terlibat dalam usaha menggulingkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk didakwa mengumpul akuan berkanun (SD) serta membina pakatan untuk mengambil alih parti.
Read More
Total
0
Share