
KUALA LUMPUR, 30 NOV 25 – PAS merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas sokongan yang diberikan kepada calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu khususnya menzahirkan terima kasih kepada para pengundi di DUN Karambunai yang memilih calon PAS yang mewakili PN, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, sehingga berjaya memenangi kerusi berkenaan.
Jelas beliau, kemenangan itu membuktikan keyakinan majoriti rakyat Karambunai terhadap kemampuan PN untuk berkhidmat kepada semua tanpa mengira latar belakang demi masa depan lebih baik.
“PAS dan PN memberi akujanji tidak akan mensia-siakan mandat serta amanah yang diberikan dengan memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah khususnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Takiyuddin turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera pilihan raya PAS serta kepimpinan yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PAS PRN Sabah, Tan Sri Annuar Musa, atas komitmen sejak dari awal kempen sehingga hari pengundian.
Beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang termasuk pimpinan, ahli serta penyokong yang membantu dari segi kewangan, tenaga kerja dan sokongan moral sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.
Keputusan rasmi PRN Sabah menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai penerima kerusi terbanyak DUN bagi penggal ini dengan memperoleh 29 kerusi daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Sementara itu, parti lawan utama, Parti Warisan Sabah (Warisan), meraih 25 kerusi. Parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) mendapat enam kerusi, diikuti bebas (lima kerusi), UPKO (tiga), STAR (dua), dan kumpulan kecil serta calon bebas lain. PN pula hanya memperoleh satu kerusi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.