
KUALA LUMPUR | 12 Sep 26 – Parti Wawasan disindir sebagai parti “insurans last minute” susulan tindakan sesetengah wakil rakyat yang didakwa meninggalkan parti masing-masing sebelum menyertai parti berkenaan.
Sindiran itu dilontarkan Ketua UMNO Merbok, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Kuala Lumpur.
Menurut Shaiful Hazizy, perkembangan itu berlaku apabila wakil rakyat tertentu secara tiba-tiba mengumumkan peletakan jawatan sebelum menyertai Wawasan.
“Tiba-tiba Bersatu ini bubar. Tiba-tiba wakil rakyat kawasan ini umum letak jawatan masuk parti Wawasan,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu bentuk “membeli insurans last minute”.
“Ini pada pandangan saya, UMNO Kedah menyifatkan proses membeli insurans last minute,” katanya.
Dalam ucapannya, Shaiful Hazizy turut menyentuh pendirian UMNO Kedah berhubung rundingan politik dengan PAS.
Beliau berkata Perhubungan UMNO Negeri Kedah telah membuat keputusan untuk memulakan perbincangan dengan PAS, namun tidak dengan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, keputusan itu dibuat kerana terdapat parti baharu dalam PN yang disifatkan beliau sebagai “parti kucing” dan “buat kacau”.
Shaiful Hazizy bagaimanapun berkata UMNO Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden UMNO untuk menentukan hala tuju politik negeri berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.