
KUALA LUMPUR, 3 Jul 25 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Ahmad Puad Zarkashi mengingatkan Datuk Wan Saiful Wan Jan, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang partinya pernah “memadam” kes membabitkan bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Ketika Bersatu bersama Pakatan Harapan (PH) pertama kali membentuk kerajaan, Puad berkata, ketika itu hukuman penjara terhadap Rafizi juga diubah bagi membolehkan beliau bertanding dalam pilihan raya umum.
“Wan Saiful lupa, semasa Bersatu bersekongkol dalam PH 1.0, tiga kes Rafizi yang didapati bersalah telah dipadam.
“Hatta hukuman juga boleh diubah daripada penjara kepada berkelakuan baik. Itu sebab Rafizi boleh bertanding PRU15,” kata Puad, dalam hantaran Facebook.
Ketika itu juga kata Puad ramai pemimpin Umno dituduh di mahkamah.
“Semasa persekongkolan itulah ramai pemimpin Umno termasuk (bekas perdana menteri Datuk Seri Najib (Razak) dan (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) dikenakan puluhan tuduhan. Bahkan Najib ada kes SRC 1 dan 2. Enam tahun di tuduh tanpa dibicara.
“Jangan lupa, (Ahli Parlimen Muar) Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) tuduh kes rasuahnya adalah kerana dia mangsa pertuduhan politik oleh Muhyiddin,” kata Puad.
Beliau turut mengingatkan Wan Saiful,” ingat..semasa berkuasa, kes kamu boleh dicari, tetapi tidak dicari. Kamu cuma padam sahaja.”
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan membidas kenyataan Puad Zarkashi berkenaan “kes boleh dicari” terhadap bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli.
Dalam kenyataan itu Wan Saiful berkata kenyataan tersebut menjadi bukti wujudnya tindakan kerajaan menggunakan agensi penguatkuasa untuk tujuan tertentu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.