Pematuhan Prosedur Masih Gagal Lindungi RM200 Juta KWAP – Wawasan Negara Tuntut Akauntabiliti

KUALA LUMPUR | 17 Julai 26 – Parti Wawasan Negara mempersoalkan keberkesanan sistem tadbir urus dan pengurusan risiko Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP selepas pelaburannya dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, dilaporkan mengalami kerugian hampir RM200 juta.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Omar Mustapha berkata, penipuan yang didakwa berlaku dalam pengurusan eFishery mungkin menjelaskan punca kerugian tersebut, namun ia tidak seharusnya menutup persoalan lebih besar mengenai tahap akauntabiliti dalam pengurusan dana persaraan penjawat awam.

Menurut beliau, sekiranya semua proses tadbir urus, penilaian dalaman, usaha wajar (due diligence), semakan pihak ketiga serta audit telah dilaksanakan sebelum pelaburan dibuat, persoalan utama yang perlu dijawab ialah bagaimana risiko tersebut masih gagal dikesan lebih awal.

“Tiada siapa mempertikaikan bahawa eFishery telah memperdayakan pelabur melalui manipulasi penyata kewangan.

“Namun hakikat bahawa penipuan berlaku tidak bermakna persoalan mengenai akauntabiliti dalam pengurusan dana persaraan penjawat awam selesai begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, KWAP bukan sebuah dana modal teroka swasta yang mengambil risiko tinggi semata-mata untuk mengejar pulangan pelaburan, sebaliknya sebuah institusi yang menguruskan dana persaraan penjawat awam Malaysia.

Katanya, standard penelitian, pemantauan dan pengurusan risiko terhadap pelaburan KWAP seharusnya lebih tinggi kerana ia melibatkan amanah rakyat.

“RM200 juta bukan sekadar angka dalam laporan kewangan. Ia ialah wang persaraan penjawat awam yang diamanahkan kepada negara,” katanya.

Datuk Omar turut menyentuh bahawa pelaburan bernilai AS$47.7 juta atau hampir RM200 juta dalam eFishery dibuat pada Julai 2023 ketika portfolio Menteri Kewangan dipegang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada pihak boleh meletakkan tanggungjawab terhadap Perdana Menteri atas tindakan penipuan yang dilakukan oleh pengurusan eFishery.

Namun katanya, persoalan mengenai tahap pemantauan, tadbir urus dan keberkesanan mekanisme kawalan institusi berkaitan tetap wajar diberikan penjelasan memandangkan pelaburan itu dibuat dalam tempoh berkenaan.

“Tiada siapa mengatakan Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap penipuan yang dilakukan oleh pengurusan eFishery.

“Namun persoalan mengenai bagaimana sistem kawalan dan pengurusan risiko berfungsi tetap perlu dijawab,” katanya.

Sehubungan itu, Wawasan Negara menggesa penjelasan menyeluruh diberikan berhubung proses kelulusan pelaburan, asas penilaian risiko serta mekanisme pemantauan selepas pelaburan dibuat.

Antara perkara yang perlu diperjelaskan, katanya, termasuk pihak yang mencadangkan dan meluluskan pelaburan tersebut, bagaimana risiko dinilai, bila petunjuk awal masalah mula dikenal pasti serta jumlah dana yang masih berpotensi dipulihkan.

Beliau berkata, sekiranya KWAP telah menjalankan semakan menyeluruh dan memperkukuh kerangka kawalan susulan kes berkenaan, hasil semakan tersebut juga wajar diketahui umum.

“Ketelusan tidak boleh terhenti pada pengumuman bahawa semakan telah dibuat. Rakyat berhak mengetahui apakah kelemahan yang dikenal pasti dan apakah pembaharuan yang dilaksanakan bagi memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya.

Datuk Omar berkata, Wawasan Negara berpandangan kerajaan wajar membentangkan laporan menyeluruh kepada Parlimen mengenai pelaburan eFishery termasuk proses kelulusan, penilaian risiko, dapatan semakan dalaman, status pemulihan aset serta langkah penambahbaikan.

“Penipuan mungkin menjelaskan bagaimana sesuatu kerugian berlaku. Tetapi penipuan sahaja tidak menjawab persoalan sama ada semua keputusan pelaburan dibuat dengan pertimbangan yang sewajarnya dan siapa yang akhirnya bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan,” katanya.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share