
KUALA LUMPUR, 18 DIS 25 — Cadangan kerajaan negeri Melaka untuk melanjutkan waktu operasi rumah urut dan pusat hiburan sehingga pukul 2 pagi mencerminkan kegagalan hala tuju moral dan dasar sosial kerajaan negeri.
Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, meskipun terdapat ralat laporan media yang menjelaskan cadangan itu masih dalam peringkat penelitian dan terhad kepada kawasan tertentu, isu pokok tetap tidak berubah.
Menurutnya, persoalan sebenar bukan soal lokasi atau tempoh operasi, sebaliknya kecenderungan kerajaan negeri melonggarkan kawalan terhadap premis berisiko tinggi yang berpotensi menambah masalah sosial.
“Rekod sedia ada menunjukkan kawalan terhadap rumah urut dan pusat hiburan masih gagal ditangani sepenuhnya. Maka cadangan melanjutkan operasi hanya akan memburukkan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mempersoalkan justifikasi kerajaan negeri yang mengaitkan cadangan itu dengan pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan.
“Adakah Melaka ketandusan idea pembangunan ekonomi sehingga terpaksa bergantung kepada aktiviti malam berisiko tinggi?” soalnya.
Dr Yadzil turut mengingatkan premis berkenaan sejak sekian lama dikaitkan dengan gejala sosial termasuk kes khalwat dan aduan awam yang berulang, selain serbuan berkala oleh pihak berkuasa agama, pihak berkuasa tempatan dan polis.
“Melanjutkan waktu operasi hanya memindahkan beban kepada penguatkuasa yang sedia terhad keupayaannya,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh ironi Bajet Melaka 2026 yang memperuntukkan hampir RM80 juta kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) namun pada masa sama kerajaan negeri mempertimbangkan dasar yang berpotensi mencetuskan lebih banyak masalah sosial.
“Sebesar mana pun bajet, ia tidak mampu menampung kesan buruk dasar yang bercanggah arah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menarik balik sepenuhnya cadangan tersebut dan menumpukan pembangunan ekonomi yang beretika serta tidak mengorbankan keharmonian sosial.
“Melaka bukan medan eksperimen sosial dan rakyat bukan bahan ujikaji dasar songsang,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.