Pemimpin DAP Gesa Anwar Ambil Tindakan Ke Atas Zahid Dalam Isu DNAA

PARLIMEN: 13 Okt 26 — Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes dana Yayasan Akalbudi dipertimbangkan semula, susulan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) yang diberikan terhadap beliau.

Rayer membangkitkan persoalan mengapa Zahid belum didakwa semula, sedangkan beberapa wakil rakyat lain berdepan tindakan mahkamah.

“Kenapa kita pilih kasih? Kenapa kita pilih bulu? Kenapa kita tidak mengambil tindakan terhadap Yang Berhormat Bagan Datuk yang terlibat dalam 47 kes rasuah?” katanya ketika berbahas dalam sesi perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menegaskan kerajaan tidak sepatutnya mengamalkan layanan berbeza dalam penguatkuasaan undang-undang, sama ada terhadap rakan politik mahupun pihak lawan.

“Kerajaan tidak boleh pilih kasih, jangan pilih bulu. Sama ada kawan atau lawan, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan perlu dibawa ke mahkamah, diheret ke mahkamah dan dituduh,” katanya.

Rayer turut menggesa Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun, supaya memastikan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata Zahid sebelum ini telah diperintahkan membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

“Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan mengatakan bahawa Yang Berhormat Bagan Datuk telah dipanggil membela diri.

“Yang Berhormat Tambun perlu mengambil tindakan dan, kalau boleh, memastikan Peguam Negara menuduh semula beliau di mahkamah untuk dihadapi perbicaraan,” katanya.

Zahid sebelum ini berdepan 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan DNAA terhadap kesemua 47 pertuduhan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Bagaimanapun, pada 8 Januari 2026, Jabatan Peguam Negara mengumumkan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap kes berkenaan selepas meneliti hasil siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). AGC menyatakan keterangan yang tersedia tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan.

Gesaan Rayer itu meletakkan isu DNAA Zahid kembali menjadi polemik mejelang PRN Negeri Melaka awal bulan depan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

MKN Perkemas SOP Latihan Ketenteraan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menegaskan bahawa pelaksanaan latihan ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus dilaksanakan secara profesional, terancang dan mematuhi segala prosedur keselamatan termasuk aspek pemeliharaan alam sekitar serta sensitiviti masyarakat setempat.
Read More
Total
0
Share