
KUALA LUMPUR – Krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat semakin parah apabila seorang penganalisis politik mendakwa parti itu kini sedang “memusnahkan diri sendiri” selepas ramai pengasas dan pemimpin asal disingkirkan daripada parti.
Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, gelombang pemecatan dan penggantungan yang berlaku ketika ini bukan lagi sekadar tindakan disiplin, tetapi sudah mula menghakis identiti asal BERSATU sebagai parti yang diasaskan oleh kelompok tertentu sejak awal penubuhannya.
“Hari ini sebahagian besar pengasas dan orang-orang awal perjuangan BERSATU sudah tidak ada lagi dalam parti.
“Yang tinggal dalam BERSATU hari ini kebanyakannya ialah bekas kepimpinan PKR yang menyertai parti itu sekitar tahun 2020 ketika berlaku pertukaran kerajaan,” katanya dalam forum atas talian Agenda AWANI: Konflik Dalaman BERSATU.
Menurut beliau, tindakan “pembersihan” yang dilakukan kononnya untuk menyelamatkan parti boleh memberi kesan sebaliknya apabila terlalu ramai pemain utama disingkirkan.
Beliau mengibaratkan keadaan itu seperti pembedahan membuang tumor, tetapi akhirnya merosakkan keseluruhan tubuh.
“Kalau kita buat pembedahan buang tumor, tetapi kedua-dua tangan dan kaki turut dipotong, apa lagi yang tinggal pada badan itu?
“Ada kemungkinan selepas proses pembersihan ini, BERSATU tidak lagi mempunyai kekuatan mencukupi untuk meneruskan survival politiknya,” katanya.
Dr. Mazlan berkata, keadaan menjadi lebih kritikal apabila tokoh-tokoh yang keluar daripada BERSATU kini mula membentuk kekuatan politik baharu menerusi gerakan “Reset” yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurutnya, gerakan tersebut bukan lagi sekadar kumpulan kecil, malah berpotensi menjadi ancaman terus kepada BERSATU sendiri.
“Kita tahu hari ini 19 Ahli Parlimen BERSATU dikatakan bersama Hamzah Zainudin.
“Sedangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri dikatakan hanya mempunyai sekitar enam Ahli Parlimen yang benar-benar bersamanya ketika ini,” katanya.
Beliau turut merujuk dakwaan bahawa lebih 100 Ketua Bahagian BERSATU kini menyokong gerakan Reset, sekali gus menimbulkan persoalan besar mengenai kekuatan sebenar parti itu di peringkat akar umbi.
Menurut Dr. Mazlan, apa yang lebih membimbangkan ialah kelompok yang dibuang daripada BERSATU kini berpotensi muncul sebagai pencabar utama kepada parti itu dalam Perikatan Nasional sendiri.
“Persoalan besar sekarang ialah sama ada BERSATU mampu menghalang kumpulan yang dibuang ini daripada kembali sebagai kuasa politik baharu yang lebih kuat.
“Itu perkara yang perlu difikirkan secara serius oleh kepimpinan parti,” katanya.
BERSATU telah memecat sejumlah besar pemimpin mereka bermula dengan Ahli Parlimen Tasek Gelugor hinggalah Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin berjumlah 17 orang kesemuanya. Angka tersebut bertambah beberapa hari kebelakangan ini apabila beberapa ADUN yang lain dipecat termasuk penggantungan beberapa lagi orang Ahli Parlimen. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.