
KUALA LUMPUR, 6 Sep 25 — Kerajaan akan memperkenalkan format baharu pengisytiharan harta yang lebih komprehensif bagi Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Politik serta Ahli Parlimen dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata langkah itu perlu kerana format sedia ada dianggap tidak mencukupi dari segi ketepatan dan ketelusan maklumat.
“Cadangan penambahbaikan format ini telah melalui beberapa peringkat perbincangan, termasuk Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah dan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional. Ia kini menunggu pertimbangan semula oleh Jemaah Menteri sebelum dilaksanakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, baru-baru ini.
Menurut rekod, pada 6 Julai 2023 mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah yang dipengerusikan Perdana Menteri bersetuju semua anggota pentadbiran wajib mengisytiharkan harta, namun memutuskan format sedia ada perlu ditambah baik.
Kemudiannya, pada 12 Julai 2023, Jemaah Menteri meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggubal format baharu yang lebih menyeluruh. Perkara itu sekali lagi dibawa ke Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional pada 8 Januari 2024 dan dipersetujui untuk diperhalusi semula sebelum dimuktamadkan.
Azalina menegaskan, pelaksanaan format baharu ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi institusi bagi memperkukuh integriti serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.