
KUALA LUMPUR | 21 Jan 26 — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menegaskan pendirian tegas menentang sebarang bentuk pengiktirafan penuh terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), walaupun pelajarnya memperoleh kredit mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia.
Presidennya, Syed Hassan Syed Ali, berkata pengiktirafan UEC disifatkan bercanggah dengan usaha membina perpaduan nasional melalui sistem pendidikan satu aliran, yang menurutnya menjadi asas penting kepada kedaulatan negara dan pembinaan bangsa Malaysia.
“PERKASA menentang habis-habisan pengiktirafan UEC oleh kerajaan, termasuk membenarkan lulusan UEC memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), memegang jawatan dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut PERKASA, keperluan mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia tidak boleh dijadikan alasan untuk memberikan pengiktirafan penuh terhadap sistem pendidikan yang beroperasi di luar kerangka pendidikan kebangsaan.
Dalam pada itu, PERKASA mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa semua aliran pendidikan di negara ini diwajibkan mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Namun, pertubuhan itu menegaskan bahawa langkah berkenaan perlu disusuli dengan tindakan lebih menyeluruh, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji pelaksanaan sistem sekolah satu aliran dalam tempoh tiga bulan, dengan kajian disiapkan sepenuhnya dalam masa sembilan bulan.
“Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan sistem pendidikan satu aliran bukan sekadar dasar, tetapi asas kepada perpaduan, kedaulatan serta masa depan negara,” tegas Syed Hassan.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mata pelajaran yang merangkumi isu Perlembagaan dan sejarah Malaysia akan dimasukkan ke dalam kurikulum semua universiti awam serta swasta mulai tahun ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.