WAWASAN: BERSATU Wajar Dibubar, Gelombang Letak Jawatan Cerminkan Krisis Kepercayaan

KUALA LUMPUR | 9 Julai 26 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) wajar dibubarkan susulan gelombang peletakan jawatan pemimpin kanannya yang didakwa mencerminkan krisis keyakinan terhadap kepimpinan parti, kata Ketua Bahagian (Penaja) Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Gombak, Shafiq Halim.

Beliau berkata, perkembangan mutakhir dalam BERSATU menunjukkan semakin ramai ahli dan pemimpin parti itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta beberapa pemimpin kanan lain.

“Trend peletakan jawatan kepimpinan tertinggi dalam Bersatu menunjukkan bahawa ahli ataupun kepimpinan dalam Bersatu sudah mula hilang keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin dan juga beberapa kepimpinan atasan yang lain,” katanya ketika dihubungi Politiko.

Menurut Shafiq, kemelut itu turut memberi gambaran bahawa masa depan BERSATU semakin suram apabila parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa mula menjauhkan diri daripada parti berkenaan.

Katanya, pengunduran pemimpin yang mempunyai pengaruh akan mempercepatkan kemerosotan BERSATU sehingga parti itu tidak lagi relevan dalam landskap politik negara.

“Apabila kepimpinan utama yang berpengaruh mula keluar atau meninggalkan parti, BERSATU akan ditinggalkan dalam keadaan yang semakin lemah dan akhirnya tidak lagi menjadi relevan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan pembubaran BERSATU merupakan pilihan terbaik bagi memberi ruang kepada ahli-ahlinya menentukan hala tuju politik masing-masing.

“Adalah lebih baik sekiranya BERSATU dibubarkan dan mana-mana kepimpinan ataupun ahli-ahli BERSATU bolehlah memilih parti-parti lain untuk mereka bersama, sama ada di blok pembangkang ataupun di sebelah kerajaan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ketika BERSATU berdepan beberapa siri peletakan jawatan melibatkan pemimpin kanan parti, termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), pimpinan negeri serta seorang senator, yang mencetuskan persoalan mengenai hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Hari ini, berita melaporkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Datin Marzita Mansor dilaporkan meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

Sementara itu, Senator Azahar Hassan yang merupakan satu-satunya Senator dari BERSATU, turut mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta keluar daripada BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share