
KUALA LUMPUR | 30 Julai 2026 – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) merumuskan bahawa institusi itu sebenarnya berada dalam keadaan kewangan yang kritikal pada tahun 2017 apabila kedudukan sebenar kewangannya tidak mencerminkan keuntungan seperti yang dilaporkan ketika itu.
Menurut laporan RCI, semakan yang dijalankan mendapati sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) diguna pakai sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang direkodkan dalam Laporan Kewangan 2017.
“Suruhanjaya mendapati beberapa perkara yang dilaporkan oleh PwC dalam financial review tersebut adalah benar. Sekiranya piawaian Malaysian Financial Report Standard (MFRS) diguna pakai sepenuhnya bagi tahun kewangan 2017, LTH sepatutnya merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion berbanding keuntungan RM3.4 bilion seperti yang direkodkan dalam Laporan Kewangan 2017.
“Ini menunjukkan bahawa kedudukan kewangan LTH sudah berada dalam keadaan kritikal pada tahun kewangan 2017. Demikian laporan tersebut.
RCI menjelaskan dapatan itu dibuat selepas pengurusan TH melantik firma PricewaterhouseCoopers (PwC) menjalankan semakan kewangan bagi tempoh 2014 hingga 2017 susulan teguran Ketua Audit Negara berhubung perubahan polisi rosot nilai aset kewangan TH.
Menurut laporan itu, semakan PwC mendapati TH tidak melaksanakan rosot nilai terhadap beberapa pelaburan penting, termasuk dalam syarikat subsidiari, syarikat bersekutu, instrumen pendapatan tetap serta pelaburan hartanah.
Selain itu, TH turut mengagihkan hibah tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan, di samping merekodkan pendapatan dividen daripada anak syarikat walaupun dividen tersebut belum diterima.
RCI menyifatkan penemuan tersebut sebagai bukti bahawa kedudukan kewangan TH telah pun mengalami defisit sejak beberapa tahun sebelum 2017 dan memerlukan langkah pemulihan menyeluruh bagi memastikan institusi itu kembali berada pada landasan kewangan yang mampan.
Untuk rekod, siasatan terhadap TH dimulakan pada Januari 2022 selepas mendapat perkenan diraja dan siasatan tersebut dilengkapkan pada Jun tahun yang sama. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.