Perwakilan PAS Selayang Sebulat Suara Tuntut DUN Kuang

SELAYANG | 8 Julai 26 – Lebih 150 perwakilan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Selayang Kali Ke-43 sebulat suara meluluskan usul menggesa kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Perikatan Nasional (PN) memberikan mandat kepada PAS Kawasan Selayang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Selayang, Kamarul Jamaluddin berkata, usul yang diluluskan pada mesyuarat di De Melatee Hall, Kuang pada 5 Julai lalu itu mencerminkan keyakinan penuh akar umbi terhadap kemampuan PAS merampas kerusi berkenaan.

“Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Selayang Kali Ke-43 meluluskan dengan sebulat suara satu usul agar PAS Kawasan Selayang diberikan mandat untuk meletakkan calon bagi bertanding di kerusi DUN Kuang pada pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembahagian kerusi dalam PN perlu dibuat berdasarkan kekuatan sebenar parti, kesiapsiagaan jentera, rekod perkhidmatan kepada rakyat serta potensi kemenangan, bukannya bergantung kepada amalan lampau atau pertimbangan politik yang tidak lagi mencerminkan keadaan semasa.

“Pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional hendaklah berasaskan realiti kekuatan parti, kesiapsiagaan jentera, rekod khidmat kepada rakyat serta potensi kemenangan, bukannya semata-mata berpandukan amalan lampau atau pertimbangan politik yang tidak lagi mencerminkan keadaan semasa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, DUN Kuang merupakan kerusi strategik di Selangor yang telah lama menjadi medan gerak kerja PAS Kawasan Selayang menerusi pelbagai program kebajikan, pendidikan, dakwah dan khidmat masyarakat.

Beliau berkata kekuatan organisasi PAS, jentera pilihan raya yang tersusun serta rekod prestasi parti di Selangor menjadikan PAS pilihan terbaik untuk mewakili PN di kerusi tersebut.

“Memberikan mandat kepada PAS Kawasan Selayang untuk bertanding di DUN Kuang bukan sekadar memenuhi aspirasi ahli-ahli PAS, sebaliknya merupakan keputusan strategik yang berasaskan kepentingan Perikatan Nasional secara keseluruhannya,” katanya.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Selayang menggesa kepimpinan tertinggi PAS dan PN mempertimbangkan usul tersebut dalam rundingan pembahagian kerusi bagi pilihan raya akan datang dengan menetapkan DUN Kuang sebagai kerusi yang ditandingi PAS.

Menurut kenyataan itu, kelulusan usul secara sebulat suara membuktikan iltizam ahli-ahli PAS Kawasan Selayang untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional melalui strategi pembahagian kerusi yang berasaskan kekuatan organisasi dan peluang kemenangan, demi meningkatkan peluang gabungan itu merampas lebih banyak kerusi di Selangor.

Ketika ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuang ketika ini adalah Rafiq Abdullah, beliau merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share